Fitri Omar Sertai Terengganu Musim Depan


KUALA TERENGGANU: Bekas pertahanan kiri pasukan Kedah, Mohd Fitri Omar memilih untuk menyarung jersi Terengganu musim depan sekali gus menolak tanggapan dia akan menyertai juara Liga Perdana, Kuala Lumpur.

Berita gembira itu dimaklumkan pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim yang menyatakan pemain yang mempunyai ketinggian 1.76 meter itu sudah sah menjadi milik pasukannya.

"Kelmarin Fitri sudah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Terengganu musim depan dan persoalan mengenai pemain dari Utara tanah air ini yang sebelumnya akan menyertai skuad Penyu sudah terjawab," katanya hari ini.

Dalam media sosial sebelum ini mengaitkan pemain berusia 32 tahun itu bakal mewakili skuad Kuala Lumpur musim depan, namun dengan pengesahan itu menamatkan spekulasi pemain itu bakal berhijrah bersama skuad Warga Kota.

Mengulas lanjut Irfan Bakti berkata, dengan kehadiran pemain itu, ia bakal memantapkan posisi berkenaan apatah lagi skuad yang terkenal dengan jolokan Peteh Terengganu Peteh itu akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas semusim berada dalam pentas Liga Perdana.

"Pengalaman yang dimiliki bekas pemain kebangsaan itu ditagih Terengganu dan berharap pemain yang juga pernah beraksi bersama Kelantan, Pulau Pinang dan ATM itu mampu memberi impak yang besar kepada pasukan.

"Selain itu kita juga menuntut pemain itu memperagakan aksi yang baik sebagaimana ketika membantu skuad Kedah muncul juara Piala FA, Piala Sumbangsih dan naib juara Piala Malaysia," katanya.

Sebelum bergelar pemain pertahanan, anak kelahiran Sabak Bernam Selangor itu adalah pemain di posisi serangan dan pernah beraksi bersama pasukan T-Team secara pinjaman dalam saingan Piala Malaysia.

Kelmarin skuad Penyu mengikat penyerang kelahiran England, Lee Andrew Tuck untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan. - Berita Harian