Masih Dalam Perbincangan, Kita Akan Putuskan Bulan Depan - Presiden PBSNT


PUTRAJAYA: Pasukan mana dari Terengganu yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan belum dimuktamadkan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ketika ini perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat pengurusan.

"Kami belum membuat keputusan muktamad mengenai perkara ini dan ia akan ditentukan oleh jawatankuasa PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu).

"Ini adalah cadangan pihak pengurusan PBSNT dan kita akan lihat dari pelbagai sudut sebelum diputuskan akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penjenamaan semula pasukan Terengganu itu dengan hanya satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Super manakala satu lagi bakal beraksi di pentas Liga Perdana musim depan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail memaklumkan pihaknya akan melakukan penjenamaan semula dengan menyenaraikan satu pasukan sahaja dari Terengganu dalam aksi Liga Super pada musim hadapan.

Sebelum ini T-Team yang berhempas-pulas mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan dikatakan terpaksa 'turun pangkat' dengan beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Turut terbabit dalam penjenamaan semula itu adalah pasukan Piala Presiden dan Piala Belia. Kedua-dua pasukan itu juga akan digabungkan menjadi satu pasukan mulai musim depan, berbanding sebelum ini iaitu pasukan Terengganu dan T-Team.

Terdahulu, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 di Duyong Marina Resort pada 23 hingga 26 November ini. - Berita Harian