PBSNT Mohon Semua Pihak Faham!


KUALA TERENGGANU: Biarpun bakal berdepan kecaman, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengharapkan semua pihak termasuk peminat faham dan memberi kerjasama penuh kepada persatuan berkaitan idea penjenamaan semula pasukan.

Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, penjenamaan semula pasukan bola sepak di Terengganu itu perlu dilihat daripada sudut yang positif dan ke depan.

"Sebagaimana yang saya maklum perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu bola sepak negeri dan bukannya untuk menjatuhkan sukan bola sepak di Terengganu.

"Jadi, saya mengharapkan semua pihak perlu faham dan seharusnya memberi sokongan padu kepada PBSNT sebagai badan induk bola sepak negeri yang bakal melaksanakan perubahan itu bermula tahun depan.

"Selain itu, PBSNT mengharapkan perubahan itu mampu memberi impak lebih baik kepada pasukan di Terengganu dalam misi untuk meraih trofi," kata Wan Nawawi yang menyatakan musim depan, semua pasukan akan berada di bawah satu bumbung PBSNT.

Semalam, media melaporkan kerajaan negeri bersama PBSNT hanya akan menyenaraikan satu pasukan saja yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, manakala satu pasukan lagi akan bermain dalam Liga Perdana.

Turut terbabit dalam penjenamaan semula itu adalah pasukan Piala Presiden dan Piala Belia. Kedua-dua pasukan itu juga akan digabungkan menjadi satu pasukan saja mulai musim depan, berbanding sebelum ini iaitu pasukan Terengganu dan T-Team.

Mengulas mengenai keputusan untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana, Wan Nawawi berkata, perkara itu boleh direalisasikan dan tidak ada masalah biarpun membabitkan sedikit isu teknikal.

"Walaupun satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Perdana, ia bukan bermakna sesebuah pasukan tidak berpeluang untuk menempa kejayaan.

"Contohnya, skuad Terengganu berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini, walaupun beraksi dalam saingan Liga Perdana.

"Jadi, PBSNT melihat langkah itu adalah sesuai demi pembangunan pasukan bola sepak di Terengganu," katanya.

Semalam, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bersedia mempertimbangkan keputusan PBSNT itu, jika persatuan berkenaan memberikan alasan munasabah.

Pada masa sama, FMLLP juga akan menilai adakah tindakan itu akan memberi manfaat dalam tempoh jangka panjang kepada pasukan terbabit. - Berita Harian