--> Skip to main content

PBDKT (T-Team FC) Minta PBSNT Kaji Semula Keputusan


Kuala Terengganu: “Saya tidak dimaklumkan apa-apa berhubung perkara itu,” demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) ketika diminta mengulas isu yang kini hangat diperkatakan apabila T-Team bakal beraksi di Liga Perdana musim depan.

Pasukan berstatus kelab di bawah naungan PBDKT sejak 2006 itu dikatakan bakal ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana setelah badan induk Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhasrat untuk melakukan penjenamaan semula pasukan bola sepak di negeri ini dengan hanya meletakkan  satu pasukan sahaja beraksi dalam Liga Super manakala satu lagi di Liga Perdana.

Justeru, Mohamad Sekanther Abdul Hamid mengharapkan PBSNT  dapat mengkaji semula keputusan itu dengan mengambil kira pelbagai aspek agar ianya tidak memberi  implikasi buruk bukan sahaja kepada pasukan T-Team bahkan juga skuad pembangunan Piala Presiden pada masa akan datang.

Menurutnya, dia terkejut dengan keputusan itu memandangkan T-Team berjaya meloloskan diri untuk terus kekal berada di kancah liga utama negara tetapi perlu berdepan dengan tindakan ‘turun pangkat’ ke Liga Perdana musim depan.

“ Saya pun tak boleh komen lanjut berhubung perkara ini kerana difahamkan ianya masih di peringkat perbincangan dan hanya tahu mengenainya menerusi media sosial Facebook sejak semalam.

“Cuma kita perlu memikirkan ke mana hala tuju skuad pembangunan Piala Presiden T-Team selepas ini kerana sebahagian besar mereka masih mempunyai baki kontrak sehingga 2019 kerana difahamkan hanya satu pasukan sahaja yang akan beraksi dalam saingan Piala Presiden musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat pengurusan T-Team di sini, semalam.

Semalam, Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengesahkan hanya satu pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan menerusi usaha penjenamaan semula  pasukan dari Terengganu.

Katanya, penjenamaan semula itu bukan berniat menjatuhkan mana-mana pasukan bola sepak dari Terengganu atau ada agenda tersembunyi, tetapi  bertujuan meningkatkan mutu bola sepak negeri yang sejak kebelakangan ini dilihat gagal meraih sebarang kejayaan.

 “Sebagaimana  yang sudah kita bincang antara PBSNT dan kerajaan negeri, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia juga akan hanya ada satu pasukan saja musim depan tidak seperti tahun ini.

“Perubahan ini untuk meningkatkan mutu pasukan ke arah lebih hebat dan berkualiti, selain mampu mengurangkan  bajet besar yang dibelanjakan kerajaan negeri  sebelum ini bersesuaian dengan perbelanjaan berhemah,” katanya.

Begitupun katanya, keputusan itu masih belum dimuktamadkan lagi walaupun sudah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat PBSNT. - Sinar Harian
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...