Pemain Tempatan Lebih Besar Kepala - Irfan Bakti


KUALA LUMPUR: Majoriti pemain yang menganggap diri mereka lebih besar daripada pasukan negeri mahupun kelab adalah terdiri daripada pemain tempatan.

Datang lambat dan tidak bersedia untuk menjalani sesi latihan serta merasakan pasukan akan kalah jika mereka tidak diturun­kan antara ragam pemain yang terpaksa dilalui oleh Irfan Bakti Abu Salim sepanjang menceburi bidang kejurulatihan.

Irfan berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut mengenai sindrom besar kepala dalam kalangan pemain negeri mahu pun kelab dan pengendali Terengganu itu mengakui dia sudah masak dengan sikap tersebut malah pernah menundukkan ego mereka.

“Saya akui saya pernah alami situasi seperti itu namun saya berjaya mengurangkan ego mereka. Terletak kepada kebijaksanaan jurulatih bagaimana mereka nak atasi masalah seperti ini. Saya hadapi masalah ini sewaktu membimbing Selangor pada 2012 hingga 2013.

“(Cristiano) Ronaldo dan (Lionel) Messi, masing-masing tidak akan boleh memenangi Ballon d’Or lima kali jika mereka besar kepala. Saya akui sikap negatif seperti itu memang ada dalam kalangan pemain kita (tempatan).

“Saya sendiri pernah gugurkan pemain dalam mana-mana perlawanan jika sebelum itu mereka menimbulkan masalah seperti datang lambat dan tidak bersedia untuk berlatih, tetapi selepas itu mereka akan berubah.

“Mana-mana pemain yang besar kepala memang akan berubah tetapi kalau ada yang masih belum berubah saya tidak tahu sebabnya, saya tidak pernah berdepan dengan situasi seperti itu. Kebanyakan pemain yang besar kepala ini adalah mereka yang malas berlatih dan fikir pasukan akan kalah jika mereka tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, terdapat beberapa kelompok pemain senior dalam pasukan kebangsaan dan negeri mahupun kelab yang menganggap diri mereka lebih besar daripada pasukan.

Ini disusuli dengan kenyataan bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini bahawa ketegasan dan berpendirian tinggi harus dimiliki Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih harimau Malaya bagi membendung masalah pemain besar kepala selain dapat mengelak daripada campur tangan pihak luar dalam mempersiapkan pasukan.

Dalam pada itu, Irfan berkata sekiranya setiap pemain menitik beratkan disiplin dan sentiasa memberi komitmen penuh mereka mampu beraksi untuk tempoh yang lebih lama walaupun sudah berusia. - Utusan