Suffian Tiger Mahu Rebut Posisi Penjaga Gol Utama Terengganu FC


KUALA TERENGGANU: Penjaga gol Terengganu FC I (TFC I) Mohd Suffian Ab Rahman bakal memasuki usia 40 tahun musim depan, namun prestasi cemerlangnya bersama skuad itu musim ini berjaya menarik minat Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mengekalkannya bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan.

Malah bekas penjaga gawang kebangsaan itu yang lebih dikenali sebagai Tiger dalam kalangan pemain, juga berjaya membuktikan kelibatnya masih berbisa apabila sering kali diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Terengganu musim lalu.

"Sebelum ini saya sudah berhasrat untuk bersara selepas lebih 21 tahun bergelumang dalam sukan bola sepak, bermula dengan pasukan Negeri Sembilan pada tahun 1995," kata Mohd Suffian yang menyarung jersi FELDA United musim lalu..

"Tetapi panggilan daripada PBSNT pada pertengahan tahun ini bagi mewakili skuad Penyu itu tidak mahu saya lepaskan, dan ia bagaikan memberi nafas baharu dalam karier bola sepak biarpun ketika itu saya sudah bergelar jurulatih skuad Air Asia.

"Keputusan yang saya buat untuk terus beraksi ternyata berbaloi selepas saya dikekalkan dalam skuad TFC I musim depan walaupun sudah berusia."

Musim ini penjaga gol yang pernah beraksi bersama Telekom Melaka, NAZA Kuala Muda dan Sarawak itu dipanggil beraksi bersama skuad Penyu selepas penjaga gol utama, Mohd Sharbinee Allawee Ramli terpaksa berehat kerana masalah paru-paru manakala penjaga gol muda, Amierul Hakimi Awang mengalami kecederaan.

Mengulas berkenaan saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan, Mohd Suffian yang pernah menyarung jersi Pahang, Selangor dan Sime Darby FC mengakui saingan agak sengit bersama tiga lagi penjaga gol.

"Sudah pasti semua penjaga gol akan berusaha untuk memberi persembahan terbaik buat pasukan, tapi terserah kepada jurulatih untuk memutuskan siapa yang bakal disenaraikan dalam satu-satu perlawanan kerana yang penting skuad Penyu mampu meraih sekurang-kurangnya satu trofi dan berada dalam kelompok teratas liga," katanya.

Musim depan TFC I sudah sah mengikat bekas penjaga gol Pahang, Wan Mohd Azraie Wan Teh dan mengekalkan dua lagi penjaga gol - Syazwan Yusoff dan Faizal Yusof. - Berita Harian