"Kalah Itu Satu Pengajaran Buat Terengganu FC"


“TIADA siapa nak kalah tapi kekalahan itu bagus buat kami untuk membaiki kesilapan sebelum Liga Malaysia bermula,” kata kapten Terengganu FC I (TFC I), Latiff Suhaimi.

Latiff mengulas mengenai dua kekalahan berturut-turut skuad Peteh Terengganu Peteh pada aksi persahabatan pramusim di Kemboja yang berakhir semalam.

Dalam aksi terakhir skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim tumpas 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC selepas sehari sebelumnya dibelasah 6-3 oleh Army FC. Bagaimanapun pada aksi pertama skuad Penyu menang 1-0 ke atas Svay Rieng FC.

Latiff menegaskan kekalahan itu juga memberi pengajaran kepadanya dan rakan sepasukan supaya bekerja lebih keras jika mahu menjadi pencabar utama dalam saingan liga yang bermula awal bulan depan.

“Menerusi kekalahan itu kami patut mengambil panduan yang berguna untuk menilai kelemahan serta kekuatan diri dan pasukan sebelum dibuat penambahbaikan demi kemajuan pasukan.

“Selain itu sebagai pemain juga harus membuang sikap bermain sambil lewa dan mengambil mudah walaupun dalam aksi persahabatan kerana ia boleh memakan diri sendiri dalam aksi sebenar dan seterusnya impak kepada pasukan.

“Setiap aspek yang diajar jurulatih harus diambil serius jika ingin berjaya, mungkin kemenangan 1-0 pada aksi pertama kami berasa selesa tapi kesannya cukup besar,” kata Latiff.

Penyerang dari Ivory Coast, Tchetche Kipre dan penyerang dari England, Lee Tuck masing-masing meledak dua gol manakala satu jaringan lagi disumbang Kim Hyun Woo dari Korea Selatan sepanjang aksi pramusim TFC I. - Harian Metro