“Bagi Pampasan 20 Juta Baru Saya Pindah”


KUALA TERENGGANU - Kampung Tanjung, Kuala Terengganu di sini, suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan penempatan nelayan dan sebuah kampung tradisional Melayu.

Bagaimanapun, kampung tersebut kini menjadi kawasan yang berpotensi membangun dek kerana tempias kepesatan pembangunan fizikal berlaku di bandaraya Kuala Terengganu.

Tanah-tanah penduduk bertukar tangan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan pelbagai projek, termasuk kawasan pembangunan komersial bersesuaian dengan keadaan semasa.

Namun dalam kerancakan pembinaan terdapat sebuah rumah kayu tradisional dua tingkat berada ditengah-tengah tapak pembinaan berkenaan sedangkan yang lainnya telah dirobohkan.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai polemik dan tanda tanya kepada banyak pihak, persoalan juga bermain di kepala sesiapa sahaja yang melihatnya dan kenapa ia masih berada di situ.

Wartawan Sinar Harian, Norhafiza Musa menyingkap kisah sebenar kenapa rumah kayu dua tingkat berciri tradisional Melayu lama itu masih berdiri gagah dan bertahan sehingga hari ini.

Yang jelas keluarga pewaris kepada rumah tradisional Melayu lama itu tidak mempertahankan rumah berkenaan untuk dijadikan sebagai warisan tetapi kerana jumlah pampasan tidak setimpal.

Mewakili keluarga itu, Wan Mansor Wan Yusof, 57, berkata, tanah dan rumah itu adalah milik arwah ayahnya, Wan Yusof  Wan Abdul Kadir dibeli dari ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 7 Julai 1977.

Menurutnya, andaian banyak pihak termasuk melalui Facebook mengatakan keluarganya mempertahankan rumah berkenaan dari diroboh kerana mahu mengekalkan warisan adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau memberitahu, pihak keluarganya tiada masalah untuk berkerjasama kepada pihak yang membangunkan kawasan berkenaan namun pemberian jumlah pampasan perlu lebih adil.

“Sekarang ini, saya hanya tunggu arahan daripada pihak peguam (saya) dari Kuala Lumpur. Saya dimaklumkan, (peguam) nak datang pada 17 Januari ini untuk ke mahkamah (Kuala Terengganu).

"Jadi seterusnya, kita perlu tunggu arahan daripada pihak mahkamah. Sekiranya pampasan dibayar sebagaimana yang dituntut oleh pihak peguam, sebanyak RM20 juta, maka saya (keluarga) berpindah.

"Kurang atau lebih dari itu, serah kepada tangan peguam. Tidak boleh 'ejas-ejas', sebab kami sudah menggunakan khidmat peguam. Nanti saya (pula) akan kena penalti,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau sekeluarga juga menasihatkan nitizen agar jangan politikkan keadaan rumah itu di facebook kerana perkara itu tiada kaitan dengan pihak ketiga termasuk dengan kerajaan negeri.

“Sebab keluarga abang saya masih tinggal di sini dan di kampung ini cuma kami lambat menerima bayaran pampasan dari pemaju. Jika selesai permohonan peguam di mahkamah, ia selesai.

“Saya mewakili sebagai tuan rumah dan sembilan adik beradik tidak menolak pembangunan. Malah menyokong 100 peratus pembangunan ingin dilakukan kerajaan termasuk di kawasan ini,” katanya.

Beliau mengakui menerima notis supaya mengosongkan tanah termasuk notis ditampal di dinding rumah ketika ketiadaan abangnya yang masih menetap di situ, Wan Mokhtar Wan Yusof, 60-an dan keluarganya.

“Pihak pemaju sebelum ini, ada menampal notis pada dinding rumah dan mengarahkan supaya kosongkan tanah dan rumah dalam tempoh tiga minggu dan bayaran pampasan ditawarkan mereka hanya RM20,000.

“Bagi kami (jumlah tersebut) adalah sangatlah tidak berbaloi,” katanya yang telah menyerahkan isu tuntutan pampasan kepada peguam yang mewakili mereka dan berharap ia dapat diselesaikan dengan lebih adil. - Sinar Harian