KUALA TERENGGANU: Empat awang import Terengganu FC II (TFC II), bakal membuat penampilan sulung dalam aksi pemanas badan berdepan Selangor di padang Kompleks Sukan Sime Darby, Bukit Jelutong, malam ini.
Musim ini, TFC II diperkuatkan bekas peledak berbisa Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC, Akanni-Sunday Wasiu; bekas penyerang import Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki dan dua pemain dari Haiti, Sebastian Thuriere (pertahanan) dan Andrew Jean-Baptistea (tengah).
Pengendali TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab, berkata empat awang import itu tidak diturunkan dalam perlawanan persahabatan diharungi sebelum ini termasuk bertemu Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Katanya, aksi berdepan The Red Giants menjadi medan terbaik melihat keserasian pemain tempatan dan import dalam perlawanan sebenar.
"Saya akan menurunkan empat pemain import ini bertemu Selangor, malam ini dan berharap mereka mempamerkan keserasian serta persefahaman baik dalam perlawanan itu.
"Sebelum ini, saya tidak berani mengambil risiko menurunkan mereka dalam aksi persahabatan kerana baharu tiba di negara ini," katanya.
Mustaffa Kamal berkata, pasukannya sudah menguji kelab Marcerra Kuantan FA petang semalam yang berkesudahan TFC II tewas 2-1, namun hanya menurunkan barisan pemain tempatan dalam perlawanan itu.
Katanya, selepas mengharungi dua perlawanan di Lembah Klang, TFC II akan menyertai saingan empat penjuru membabitkan TFC I, Melaka United dan Pahang bagi merebut Piala Menteri Besar Terengganu pada 15 hingga 20 Januari ini.
"Saya minta semua pemain mempamerkan persembahan terbaik dan bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan mengharungi saingan Liga Perdana, bulan depan," katanya. - Berita Harian