Telemovie Kebaya Mek Hwa Papar Budaya, Perpaduan Di Terengganu


Telemovie `Kebaya Mek Hwa' mampu menonjolkan keunikan kehidupan masyarakat peranakan Cina dan Melayu di pelbagai lokasi menarik di Terengganu apabila bersiaran di slot cerekarama TV3 sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Pada masa sama, drama yang berdurasi kira-kira dua jam itu mampu memupuk semangat perpaduan kerana menggabungkan barisan pelakon Cina dan Melayu seperti Pauline Tan sebagai May, Syazwan Zulkifli (Dani), Wan Hanafi Su (Pok Mat tukang bot) dan Sulaiman Yassin memegang watak nelayan yang dikenali sebagai Awang.

Tiga lokasi  utama iaitu Perkampungan Cina, Jalan Bandar, perusahaan bot di Pulau Duyong (Kuala Terengganu) dan perkampungan nelayan di Jambu Bongkok, Bukit Payung (Marang)  menjadi pilihan penggambaran sesuai dengan jalan cerita dan keindahan lokasi yang menjadi tumpuan pelancong ke Terengganu.



Pengarah Drama,  Sabri Yunus berkata, pihaknya memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana menyedari pelbagai keunikan budaya masyarakat peranakan Cina yang dikenali dengan panggilan Mek dan Awang serta keakraban kaum itu dengan budaya dan masyarakat Melayu sendiri.

“Mek dan Awang di sini menggemari pelbagai  makanan Melayu, terutama nasi dagang dan keropok lekor dan pelbagai menu tradisional lain, selain gemar mengenakan pakaian tradisional baju kebaya.

“Semua adat, budaya dan warisan itu akan dipaparkan dalam Kebaya Mek Hwa yang menggunakan hampir 85 loghat Terengganu dan dilakon oleh 15 individu dan 10 orang daripadanya adalah anak jati Terengganu,”katanya.



Sabri berkata demikian kepada Teganukita ketika penggambaran telemovie itu, di Perkampungan Cina, Jalan Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Penulis Skrip telemovie berkenaan, Mohd Syukri Mohd Sidek yang dikenali Joe Sidek berkata, naskhahnya itu nanti akan menonjolkan keistimewaan dan amalan harian masyarakat peranakan Cina Terengganu yang jarang dipertontonkan kepada umum apatah lagi dalam bentuk telemovie.

“Antara yang akan ditonjolkan adalah golongan ini gemar berbaju kebaya atau dipanggil 'Baju Kebaya Potong Kot' dan kain batik jawa bagi perempuan manakala lelaki memakai kain pelekat dan baju pagoda selain kemeja apabila keluar rumah, selain fasih bertutur loghat Terengganu,”katanya.