Irfan Bakti Terkilan


IRFAN Bakti berkata, dia sebenarnya menjangkakan TFC I dapat mengutip mata penuh selepas menyaksikan pasukan jiran tetangga itu beraksi buruk ketika bertemu Melaka United, pada aksi pembuka tirai, tempoh hari.

“Tapi malam tadi, nampaknya Kelantan beraksi dengan baik, mungkin pertukaran tiga pemain pasukan lawan itu telah mengubah rentak permainan mereka.

“Apapun, saya tetap gembira dapat kutip satu mata di tempat lawan. Ia satu keputusan yang adil bagi kedua-dua pasukan,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan itu.
Pada pertemuan tersebut, TFC I terlebih dahulu di depan menerusi Tchetche Kipre seawal minit pertama tetapi sepakan penalti pemain import Kelantan, Do Dong-hyun (m-38) memastikan kedudukan 1-1 sehingga tamat permainan. 

Pada masa sama, pengendali berusia 67 tahun itu memberitahu, dia tidak gembira dengan persembahan pemainnya apabila memberi ruang terlalu banyak buat tuan rumah bergerak bebas, sepanjang aksi 90 minit itu.

“Saya jangka selepas menjaringkan gol seawal minit pertama, pemain saya lebih menekan tetapi malangnya ada dua hingga tiga orang tak kawal pergerakan lawan terutamanya pemain nombor 21 itu (Morgaro Gomis).

“Sudah tentu bila ketinggalan, Kelantan akan bangkit mencari gol penyamaan. Kedua-dua pemain sayap saya bukan tidak bermain dengan baik tetapi mereka sekadar memerhatikan pergerakan bola. Di situ ada sedikit kekurangan kita,” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan bekas pengemudi Felda United FC itu menjelaskan, dia puas hati prestasi pasukannya pada pertemuan dua musuh tradisi itu.   

“Kita masih bermain dengan baik tetapi tak dapat jaringkan gol. Kita juga ada peluang macam Kipre (Tchetche) di depan pintu gol tetapi terkena bahu tapi itulah bola sepak, adillah keputusan seri ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas persembahan Lee Jun-hyeob, Irfan Bakti memberitahu, masih terlalu awal untuk menilai pemain import baharu TFC I dari Korea Selatan itu.

“Ini baru perlawanan pertama Jun-hyeob, lagi pun dia baru dua hari bersama kita. Pemain lain sudah serasi, jadi mungkin saya tak nampak lagi kelebihannya. Walaupun pernah berlatih dengan kelab di Kemboja tapi tahap kecergasan dia tak sama dengan pemain sedia ada,” katanya. -Sinar Online