(VIDEO) Terengganu FC Ikat Kelantan FA Di Kota Bharu


KOTA BHARU: Kelantan gagal mencatat kemenangan sulung di laman sendiri selepas diikat Terengganu FC (TFC) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.



Terdahulu, pelawat berada di depan menerusi jaringan kapten Tchetche Kipre yang menolak masuk hantaran lintang Ashari Samsudin untuk menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Khairul Fahmi Che Mat seawal minit pertama.

Pada minit ke-22, Do Dong Hyun terlepas peluang keemasan menjaringkan gol penyamaan Kelantan apabila sepakan percumanya terkena pertahanan TFC.

Selang dua minit, tandukan Bruno Lopes gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat namun tidak dapat disudahkan Dong Hyun walaupun Suffian Abdul Rahman sudah tertewas.

Tersentap jaringan awal pelawat, Kelantan cuba bangkit dengan mengatur gerakan mencari gol penyamaan dan hasilnya Dong Hyun berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas Nik Shahrul Azim dijatuhkan dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, tuan rumah memiliki dua peluang terbaik menerusi Norfarhan Mohamad dan Ferdinand Sinaga, namun gagal menghasilkan gol.

TFC juga berpeluang menambah jaringan menerusi Kipre, bagaimanapun cubaannya dua kali ditepis keluar Khairul Fahmi. - Berita Harian