KUALA TERENGGANU: Permata baharu skuad Terengganu FC (TFC) dari Korea Selatan, Lee Jun-hyeob bakal menjadi senjata berbisa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam misi merobek kubu Kelantan pada aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini.
Pemain yang baharu semalam menandatangani kontrak bersama skuad Penyu itu akan bermain di posisi sayap serangan sekali gus bakal memantapkan lagi jentera depan skuad TFC itu.
Irfan Bakti yang gembira dengan corak permainan Jun-hyeob menyatakan kehadiran pemain berusia 28 tahun itu menceriakan kem pasukan dan akan disenaraikan bertemu skuad The Red Warriors walaupun secara umumnya masih keletihan.
"Jika semuanya berjalan lancar saya akan menyenaraikan pemain itu dan apa yang kami harapkan dia cepat serasi dengan pemain lain serta dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan selain mampu membentuk kombinasi mantap," kata Irfan.
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 67 tahun itu menuntut anak buahnya terutama jentera tengah dapat menguasai dengan cepat bahagian berkenaan bagi memastikan setiap gerakan dapat diatur dengan sempurna.
Selain itu Irfan turut menuntut pemainnya mencari jaringan seawal mungkin bagi menyuntik semangat pemain beraksi lebih baik dalam misi mencatat kemenangan pertama.
"Peluang diperoleh pemain harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk mencari jaringan, oleh itu pemain harus fokus dan lebih berdisiplin selain tidak melakukan kesilapan mudah sebagaimana ketika membenarkan PKNS FC meledak jaringan kedua di Kuala Terengganu Sabtu lalu.
"Pemain yang tidak beraksi ketika bertemu PKNS FC juga harus mempersiapkan diri daripada aspek fizikal dan mental kerana saya bakal melakukan sedikit rombakan bertemu skuad Kelantan," kata Irfan yang mahukan anak buahnya melipatgandakan asakan ke kubu lawan. - Berita Harian