Dibolosi 12 gol dalam enam perlawanan jelas menghadirkan resah kepada pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas kekalahan terbaru 2-3 kepada Kuala Lumpur dalam aksi Kumpulan A.
Kelonggaran pertahanan TFC, menurut Irfan, berpunca daripada kegagalan menghadapi situasi bola mati dengan baik menyaksikan skuad bimbingannya dihukum, termasuk dalam saingan liga.
Mengulas lebih lanjut kekalahan malam tadi, jurulatih berpengalaman itu menyifatkan ada pemainnya tidak menjalankan tugas sehingga menyebabkan Kuala Lumpur menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87.
"Jaringan kemenangan pasukan lawan berpunca daripada sepakan penjuru dan tiada seorang pun mengawal Guilherme (De Paula)," kata Irfan.
Sementara itu, Irfan menganggap layangan kad merah kepada Fazirhikwan Mat Rani pada minit ke-35 adalah keputusan yang wajar selepas pemain tengah itu menarik Paulo Josue di depan kotak penalti TFC.
Beraksi tanpa beberapa tonggak yang direhatkan, persembahan Do Dong-hyun antara petanda baik selepas pemain Korea Selatan itu -- menyertai TFC pada jendela perpindahan kedua -- gagal menyerlah sebelum ini.
"Saya ingin mencuba Dong-hyun dan dia beraksi cemerlang tetapi merehatkan Chantha Bin bermakna jentera tengah menjadi kelemahan kami.
"Pemain import mana yang akan beraksi dalam suku akhir nanti belum diputuskan," ujarnya. - Stadium Astro