KUALA TERENGGANU: Biarpun pernah membimbing FELDA United, pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui skuadnya berdepan laluan getir bertemu The Fighters itu pada suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini.
Malah, Irfan Bakti mengakui, corak permainan skuad kendalian B Sathianathan itu sudah pasti berbeza, apatah lagi mereka mempunyai kelebihan beraksi di Stadium Tun Abdul Razak, di Jengka, yang menggunakan padang rumput tiruan.
Jadi, beliau menegaskan, pengalaman melatih pasukan itu sebelum berkelana ke Terengganu bukannya 'tiket' mudah buat skuadnya mencatat kemenangan ke atas skuad juara Liga Perdana 2018.
"Hakikat ini perlu saya akui. Mereka mempunyai pemain yang lengkap di semua posisi dan sudah pasti keadaan ini menyukarkan lagi anak buah kami untuk memburu gol.
"Bagaimanapun, saya yakin dengan prestasi semasa pasukan dan barisan pemain selain ditambah pengalaman ketika melatih skuad itu selama tiga musim, ia dapat membantu mencongak strategi terbaik berdepan skuad itu," kata Irfan Bakti.
Mengulas lanjut, Irfan Bakti mengakui beliau menarik nafas lega apabila semua pemain tonggak TFC bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan.
"Ini perkembangan yang positif kerana sudah tentu kami mahukan kemenangan dan bekalan yang selesa dalam aksi pusingan pertama,” katanya.
Aksi pusingan kedua bakal berlangsung di Kuala Terengganu pada 28 September ini. - Berita Harian