KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin tidak rela skuadnya dikejutkan pasukan FELDA United pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Jumaat ini.
Sebaliknya pemain dilahirkan di Perancis dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Les Bleus Bawah 17 itu bertekad mahu mengecewakan The Fighters biarpun beraksi di stadium keramat mereka yang mempunyai padang rumput tiruan.
"FELDA mempunyai kekuatan tersendiri sehingga muncul juara Liga Perdana musim ini. Saya ramal skuad Penyu bakal berdepan laluan sukar kerana FELDA juga mempunyai pemain berpengalaman dan serba lengkap di setiap posisi.
"Penyerang tinggi lampai mereka, Gilberto Fortunato dan Thiago Augusto cukup bahaya dan perlu diawasi ketat daripada bermaharaja lela di depan kubu TFC," kata pemain berusia 27 tahun itu.
Bagaimanapun, Chantha Bin yang beraksi bersama pasukan negaranya, Kemboja ketika bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan pada 10 September lalu berazam tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad kendalian B Sathianathan itu.
"Jika lawan berbangga memiliki rangkaian penyerangnya, kami juga tidak kurang hebatnya dengan ketajaman Kipre Tchetche di barisan depan, Lee Tuck dan saya yang akan mengemudi jentera tengah dan benteng kebal kami diketuai, Igor Zonjic.
"Kami yakin jika semua rakan sepasukan beraksi sebagaimana yang dirancang jurulatih, Irfan Bakti (Abu Salim), kami mampu membawa bekalan selesa dan tidak rela dikejutkan lawan sebelum pertemuan kedua pada Jumaat depan di Kuala Terengganu," katanya. - Berita Harian