Anwar rayu kerajaan beri duit raya pada peneroka walau sedikit

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan supaya mempertimbangkan rayuan untuk pemberian insentif Hari Raya Aidilfitri kepada peneroka Felda di seluruh negara.

Jelas Anwar, kegelisahan dan kesempitan hidup peneroka Felda bagi menghadapi bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri adalah benar berlalu, jadi pemberian insentif tersebut walaupun sedikit setidaknya mampu meringankan beban peneroka.

“Kita faham kenyataan oleh kerajaan termasuk oleh Mohamed Azmin Ali memang ada masalah sedikit untuk perbincangan untuk masa hadapan, tetapi kita juga ke bawah, kegelisahan itu benar.

“Orang hadapi masalah bulan Ramadan, masalah pula untuk Hari Raya, kita fikir kalau bolehlah dipertimbangkan, beri sedikit pun tidak apa, mereka rasa ringan sedikit beban, jumlah itu terserah,” katanya.

Anwar yang juga merupakan Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Parlimen dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka se­perti amalan yang dilaksanakan sejak 2011 bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengakui tidak tahu sama ada bayaran insentif Hari Raya Aidilfitri akan diberikan atau tidak kepada 112,653 peneroka Felda.

Sementara itu, tambah Anwar isu mengenai insentif Aidilfitri kepada peneroka itu juga dibincangkan dalam mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen.

“Kami minta kalau boleh kerajaan pertimbangkan supaya dapat meringankan sedikit dengan memberikan elaun ataupun saguhati kepada peneroka Felda yang mengalami masalah kesempitan hidup,” katanya.-UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com