Nafi unsur rasuah, tiada protes dari pemain


KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan ada unsur rasuah ketika pasukan itu tewas dengan jaringan besar pada aksi Liga Super minggu lalu.

Dakwaan itu dipercayai muncul selepas segelintir pihak dilihat tidak boleh menerima kenyataan TFC tewas 3-5 kepada pendatang baharu PJ City di laman sendiri, apatah lagi selepas mendahului 3-0.

Terengganu dilihat berdepan situasi lebih parah apabila kekalahan kepada PJ City itu menjadi punca ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim bertindak meletak jawatan.

Selain dakwaan unsur rasuah, skuad TFC turut didakwa berdepan protes pemain terhadap Irfan hingga menyebabkan mereka mengalami masalah prestasi termasuk dibelasah Pahang 4-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA.

Pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahaya bagaimanapun menafikan perkara itu berlaku dalam kem skuad Penyu.

"Tiada (protes terhadap jurulatih), pasukan juga tiada masalah. Kita pernah tewas sebelum ini kepada Selangor dan PKNP, tapi ini mungkin sebab kekalahan besar terutama selepas kita mendahului tiga gol.

"Itu yang menyebabkan timbul pelbagai spekulasi. Tapi bagi kami, kami percaya pemain kami dan juga tiada bukti untuk mengatakan ada unsur rasuah," katanya. - Berita Harian