KUALA TERENGGANU: Ketumpulan jentera serangan terus menghantui kem Terengganu FC II (TFC II) ketika saingan Liga Perdana musim ini hanya berbaki enam perlawanan lagi.
Ini diakui pengendalinya Tengku Hazman Raja Hassan yang kecewa dengan barisan penyerang diketuai kapten pasukan Akanni Sunday Wasiu.
"Saya berpuas hati apabila kita ada ramai pemain yang mampu menghasilkan jaringan, tidak hanya tertumpu kepada barisan serangan. Tetapi sebagai pemain bergelar penyerang, saya amat kecewa kerana mereka gagal menghasilkan jaringan kerana itu tugas mereka,” kata Tengku Hazman.
"Jadi saya sekarang masih menanti untuk melihat dua penyerang itu, (Wasiu dan Bruno Suzuki) menghasilkan jaringan kerana sudah lama ia tidak berlaku."
Pada pertemuan dengan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu mengakui dia bangga dengan semangat yang ada pada pemainnya kerana dua kali bangkit menyamakan kedudukan.
"Ini bukan satu perkara yang mudah dan saya akui perlawanan pada malam ini (malam tadi) adalah yang sukar kerana pasukan lawan bermain lebih bertahan.
"Dengan mengutip satu mata ini, ia sudah menggembirakan kami kerana pemain sudah berusaha dan melakukan yang terbaik," katanya.
TFC II kini mengutip 23 mata hasil 14 perlawanan dan menduduki tangga keempat liga, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, UiTM FC. - Berita Harian