Hari Paling Agung Di Sisi Allah


Soalan:
Apakah terdapat athar daripada Nabi SAW berkaitan hari agung di sisi Allah?

Jawapan :
Ibadah Haji merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia merupakan satu kewajipan bagi orang yang mampu untuk menunaikannya. Antara dalil yang menunjukkan akan kewajipan Haji adalah:

Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Ali-Imran: 97)


Berdasarkan kepada soalan di atas, sememangnya terdapat hadith yang sahih sebagaimana soalan di atas.

Daripada Abdullah bin Qurth RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الْأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَوْمُ النَّحْرِ، ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ
“Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah adalah hari raya korban, kemudian hari selepasnya.” [Riwayat Abu Daud (1765), Riwayat Ahmad (19075), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]


Hadith ini menunjukkan bahawa antara hari yang paling afdhal di sisi Allah dalam setahun selepas daripada hari Arafah ialah hari raya Aidladha. Ini kerana, banyak perbuatan haji dilakukan pada hari tersebut seperti melontar jamrah al-Aqabah, melakukan korban, bertahallul, melakuan tawaf ifadhah dan sebagainya. Disebabkan itu, ia dinamakan sebagai hari haji al-Akbar sepertimana disebutkan di dalam al-Quran. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 1/148]

Selain itu, dinamakan hari al-Qar adalah disebabkan hari tersebut para jemaah haji menetap di Mina selepas selesai menunaikan taqaf al-Ifadhah, korban dan waktu mereka berehat. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 5/127]

Penutup

Kesimpulannya, hari al-Nahr atau hari raya Aidiladha merupakan di antara hari-hari yang agung dan besar di sisi Allah SWT. Justeru, kita amat dituntut untuk memperbanyakkan amal soleh pada hari-hari yang agung seperti ini, termasuklah sepuluh hari pertama di dalam bulan Zulkaedah. Adapun berkaitan status hadith di atas, ia adalah thabit atau sahih daripada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melakukan amal ibadah pada hari-hari seperti ini. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media