--> Skip to main content

Kanak-kanak dua tahun maut tertinggal dalam kereta atuk

LANGKAWI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia dipercayai akibat strok haba selepas tertinggal dalam kereta yang dipandu datuknya di Taman Sungai Raya, di sini dalam kejadian pada Isnin lalu.

Mangsa yang sebelum itu mengikut datuknya berusia 73 tahun untuk mengambil abang dan kakaknya di sebuah sekolah berhampiran, dipercayai tertinggal selama dua jam di dalam kereta yang diletakkan di luar pagar hadapan rumahnya.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ketika pulang dari sekolah terbabit, mangsa bersama abang dan kakaknya berada di tempat duduk belakang sebelum dia dipercayai tertidur.

“Kejadian hanya disedari setelah ibu mangsa mendapati anaknya tidak ada bersama-sama dua lagi anaknya itu sebelum mereka segera mencari mangsa sehingga ke rumah datuknya.

“Akhirnya, ibu dan datuk mangsa pergi semula ke kereta itu dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dengan kesemua pintu dan tingkap tertutup rapat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainuddin, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi.

“Laporan penuh bedah siasat belum diperolehi, namun laporan awal menunjukkan punca kematian berkemungkinan disebabkan strok haba,” katanya.

Ujar beliau, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zainuddin turut menasihatkan kesemua ibu bapa atau penjaga agar lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing kerana sekiranya wujud unsur kecuaian, tindakan tegas boleh diambil terhadap mereka. -UTUSAN ONLINE



Sumber: myterengganu.com
Tarikh Artikel: 25 July 2019
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...