--> Skip to main content

Pemain ragbi wanita Terengganu bertudung curi tumpuan


KUALA TERENGGANU - Penampilan bertudung kesemua 15 pemain pasukan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Terengganu yang baru dibentuk sejak empat bulan lalu menerusi Kejohanan Ragbi Wanita 7 Sepasukan Kesatuan Ragbi Selangor 2019 atau KRS Ladies 7s 2019 mencuri tumpuan ramai.

Jurulatih pasukan itu, Nik Mohd Shahiddan Mohd Zain berkata, pasukan itu muncul kali pertama pada perlawanan yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada 13 hingga 14 Julai lalu dalam misi mengutip pengalaman menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

"Tidak dinafikan, persembahan pertama pasukan ini menarik perhatian ramai dan kini menjadi model kepada pemain yang lain.

"Setakat ini ada beberapa pasukan lain yang dah mula menutup aurat, namun, tidak melibatkan semua pemain.

"Untuk pasukan kita, semua pemain terlibat perlu menutup aurat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Nik Mohd Shahiddan menafikan pemakaian menutup aurat memberi kesan terhadap tumpuan seterusnya menjejaskan prestasi pemain.

"Prestasi pemain tidak terganggu dengan pemakaian menutup aurat. Mungkin agak kurang selesa sikit, namun, ia tidak menjadi masalah. Di negara luar pun ramai pemain beragama Islam termasuk dari Arab Saudi mempraktikkan syariat menutup aurat.

"Sebenarnya, ia tidak menghalang pergerakan pemain, tidak mengganggu tumpuan malah mereka lebih selesa dengan penampilan itu," katanya.

Turun selaku bukan pasukan pilihan, pasukan itu telah diundi untuk bersama Singapore U20, Johor Ladies 2, WIPERS dan Sukma Kedah bagi saingan Kumpulan B.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai prestasi pemain dalam perlawanan kali pertama itu, katanya ia agak 'kucar-kacir' kerana terpaksa berdepan dengan nama-nama besar dalam sukan ragbi negara.

Katanya, walaupun mencatat kekalahan dalam semua perlawanan pada hari pertama kejohanan, semangat juang yang tinggi setiap pemain ragbi wanita negeri Terengganu berjaya mengekang penguasaan pasukan lawan daripada mengutip mata perlawanan bagi perlawanan peringkat kumpulan.

"Untuk perlawanan pertama kita nampak kucar kacir sikit sebab kali pertama untuk bermain dengan nama-nama yang besar, namun, semakin lama mereka nampak semakin bagus dan banyak yang dipertingkatkan daripada segi kawalan dan pertahanan.

"Jadi, kita harap mereka akan terus menimba ilmu dan pengalaman baharu menjelang Sukma 2020," katanya.

Nik Mohd Shahiddan merupakan jurulatih berbakat besar serta bekas jurulatih bagi pasukan ragbi lelaki dan wanita Serdang Angels yang berpusat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Anak jati Besut ini juga merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang pernah beraksi di University Games Russia 2014, Asian University Games Singapore 2015, Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Sinar Harian
Tarikh Artikel: 17 July 2019
Comment Policy: Kami Terengganu 11 tidak bertanggungjawab terhadap komentar/pandangan yang diutarakan melalui laman sosial/weblog ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Buka Komen
Tutup Komen
Loading...