Suami isteri rembat duit simpanan RM4,700 milik warga emas


Warga emas berusia 74 tahun mengalami kerugian RM4,700 setelah wang simpanannya itu dirembat pasangan suami isteri yang konon ikhlas mahu membantunya. 

Mangsa, Andol anak Jugah, hanya menyedari kehilangan wang simpanannya itu ketika dia mahu membuat pengeluaran wang di ATM Bank Simpanan Nasional Cawangan Song, Kapit, Sarawak. 

Menurut mangsa, 15 Julai lalu kira-kira jam 12 tengah hari, dia mahu mengeluarkan sejumlah wang dari akaun bank melalui mesin ATM tetapi tidak berjaya. Selepas merujuk kepada pihak bank, pegawai berkenaan memaklumkan duit baki dalam akaun tidak mencukupi. 

"Kali terakhir saya mengeluarkan duit di dalam akaun bank adalah pada 19 Jun 2019 berjumlah RM500. 

"Sebelum ini saya ada meminta bantuan orang lain untuk mengeluarkan wang dari akaun saya, memandangkan saya sudah tua dan tidak pandai menggunakan kad ATM. 


"Pihak bank telah mencetak satu penyata akaun bank BSN dan saya telah bawa ke Balai Polis untuk laporan kehilangan wang dalam akaun BSN saya. Saya syak kad ATM saya telah ditukar dengan kad orang lain. Anggaran kerugian sebanyak RM4,695.70," katanya. 

Gambar pasangan suami isteri itu juga turut disebarkan oleh cucu mangsa, Azura Jimbun, melalui Facebooknya. Menurut Azura, pasangan itu dipercayai telah melarikan diri ke Johor bagi mengelakkan diri ditahan polis. 

Justeru, ahli keluarga mangsa memohon orang ramai membantu mengesan pasangan terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan. 



Sumber : thereporter.my