‘Empower ECER UMT' Bantu Pelajar Terjejas banjir


KUALA TERENGGANU, 11 Disember - 'Empower ECER' di bawah pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Jaya Holding telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi meringankan beban pelajarnya yang terjejas banjir.

Gelombang pertama yang melanda Terengganu baru-baru ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada sekitar 48 buah keluarga pelajar terutamanya di daerah Setiu dan Hulu Besut.

Pegawai 'Empower ECER' Setiu (Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC), Ahmad Syakirudin Mohamad berkata, antara kawasan yang paling teruk terjejas di daerah Setiu adalah penempatan pelajar di Sungai Tong, Kampung Kasar, Langkap, Pelong, Kampung Buluh, Kampung Ulu Seladang dan Kampung Besut.

Manakala kawasan Telaga Nibong, Durian Telur dan Pasir Akar yang terletak di dalam daerah Besut merupakan kawasan dengan bilangan pelajar Empower ECER paling ramai terjejas akibat bencana tersebut.

“Kita telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan bertujuan meringankan sedikit beban keluarga pelajar terlibat.

“Semasa lawatan dilakukan kebanyakan keluarga baru sahaja pulang daripada Pusat Pemindahan Sementara di kawasan masing-masing dan operasi pembersihan rumah yang dipenuhi lumpur sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.


Mengulas lanjut, program seumpama ini merupakan salah satu khidmat komuniti yang menjadi teras kepada program 'Empower ECER'.

“Ia bukan sahaja dapat membantu keluarga yang memerlukan namun secara tidak langsung ianya sebagai tanda sokongan pihak 'Empower ECER' dalam usaha untuk bersama-sama menyelamai kepayahan mereka dalam menghadapi bencana yang tidak dijangka ini.

“Selain itu ia juga berjaya mendekatkan lagi hubungan pihak ECERDC dengan masyarakat setempat,” katanya.

Program 'Empower ECER' merupakan inisiatif serampang dua mata di bawah program pembangunan modal insan yang dilancarkan oleh ECERDC pada tahun 2010.

“Ia mengandungi dua cabang utama iaitu Program Latihan Akademik yang menyasarkan para pelajar berprestasi lemah dan sederhana dari keluarga berpendapatan rendah.

“Mereka akan menduduki peperiksaan awam utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan juga Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan menyasarkan golongan belia dan dewasa yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik,” tambah beliau.

Sumber: teganukita.net