'Sebar Maklumat Semasa Negeri Melalui Ceramah Berkelompok' – Zuraida

Hadirin yang terdiri daripada muslimat DUN Ladang.


Oleh : Syazwana Mohd Zohir

KUALA TERENGGANU, 12 Disember- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor menyifatkan Forum Penerangan Isu Semasa Terengganu Kini yang berjaya menyampaikan penerangan isu-isu semasa kepada masyarakat wajar diteruskan.

“Saya nampak forum sebegini sangat sesuai jika kita buat melalui ceramah berkelompok. Maksudnya selepas ini, kita pergi ke zon-zon lain membawa satu mesej ataupun pesanan daripada pimpinan kerajaan negeri untuk kita sampaikan kepada semua rakyat.

“Kalau diikutkan, Menteri Besar kita mahu semua rakyat tahu kesemua isi-isi pembentangan Bajet 2020. Itulah peranan kita, tetapi kita tidak mampu nak buat semua sekaligus maka lebih elok kita buat secara berkelompok sebegini," katanya.
Zuraida.

Beliau berkata demikian keita berucap dalam forum berkenaan yang berlangsung di Balairaya Majli Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Bayas, semalam.

Turut bersama-sama dalam forum tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu, Shamsiah Abu Bakar.

Zuraida turut menjelaskan, bajet defisit  yang dibentang dalam Belanjawan 2020 lalu bukan bermakna kerajaan negeri terpaksa mengenepikan keperluan rakyat.

"Memang benar, Bajet 2020  adalah bajet defisit sebanyak sepuluh peratus iaitu sebanyak RM166 juta di mana perbelanjaan negeri berjumlah RM1.8 billion tetapi pendapatan negeri hanyalah RM1.6 billion.

"Walaubagaimanapun, hal ini tidak menghalang kita untuk terus menyalurkan pembangunan kepada rakyat kerana nilai ini adalah satu jumlah yang sangat besar berbanding negeri-negeri lain," tambahnya.

Dato' Tengku Hassan turut tampil sebagai panel forum.




Sumber: teganukita.net