Silat Piala MB Terengganu Panaskan SUKMA 2020

Wan Sukairi merasmikan kejohanan berkenaan.
KUALA NERUS, 20 Disember - Karnival Silat Kebangsaan Piala Menteri Besar Terengganu yang berlangsung sejak kelmarin menjadi medan pemanas badan sebelum Sukan Malaysia (SUKMA 2020) bermula Julai nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejohanan yang menghimpunkan 1,375 pesilat itu mempertandingkan enam kategori, antaranya remaja dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, pertarungan negeri-negeri dalam kategori SUKMA adalah acara yang paling dinanti dan mencuri tumpuan dalam pertandingan yang julung-julung kalinya diadakan.

"Melihat kepada jumlah penyertaan, ia jauh melepasi jangkaan penganjur dan Terengganu berhasrat menjadikan Karnival Silat Kebangsaan sebagai acara tahunan.

"Kami juga bersedia bekerjasama untuk menjadi tuan rumah silat nusantara, Asia atau dunia," jelasnya.

Wan Sukairi teruja dengan sambutan penyertaan pesilat dari luar negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kejohanan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Politik Pejabat Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan Timbalan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Dalam pada itu, menurut Md Sohaimi, melalui karnival tersebut pihaknya mampu mencari dan menggilap bakat-bakat baharu pesilat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Pesilat-pesilat yang berpotensi akan dibawa masuk ke kem kebangsaan sejajar dengan cadangan membawa pemenang SUKMA ke Sukan Sea di Vietnam (2021).

"PESAKA sentiasa bersikap terbuka dan barisan pesilat negara perlu kekal mantap untuk menjuarai kejohanan selepas ini," tambah beliau.

Md Sohaimi (tengah).






Sumber: teganukita.net