Terengganu Jadi Contoh Laksana Pengebilan Bersepadu IWK- Dr. Xavier Jayakumar

Dr.X bersama Dr. Samsuri dalam sidang media.


KUALA LUMPUR, 20 Disember- Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia, Dato' Dr. Xavier Jayakumar berharap perjanjian pengebilan bersepadu yang dimeterai antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd (IWK) bersama Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) akan membuka jalan kepada kerjasama dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Saya menerima kerjasama yang baik daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri, kerajaan negeri Terengganu dan SATU.

"Saya berharap dengan perjanjian hari ini,  Terengganu dapat menjadi contoh kepada negeri lain dalam menyokong pelaksanaan inisiatif bil bersepadu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pengebilan Bersepadu antara kedua-dua pihak di Hotel Intercontinental, hari ini.

Majlis disempurnakan beliau bersama Dr. Samsuri dan turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga & Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh.

Beliau menjelaskan, Terengganu menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang menyokong inisiatif tersebut setelah Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memuktamadkan agar industri air dan pembetungan melaksanakan pengebilan bersepadu.

Bermula 1 Januari 2020, sebanyak 20,661 akaun pengguna negeri Terengganu akan disatukan dalam bil bersepadu.

Ia merupakan tujuh peratus daripada keseluruhan pengguna air seluruh negeri tersebut yang merangkumi kawasan bandar dan pinggir bandar.









Sumber: teganukita.net