Meletakkan Barangan Sewa Beli Untuk Kegunaan Ramai, Adakah Dikira Sedekah?


SOALAN:
Apa hukumnya kita berniat untuk meletakkan penapis air di surau atau masjid, tapi bayaran penapis air itu dibayar oleh saya secara ansuran menggunakan akad sewa beli. Adakah ianya dikira sebagai satu sedekah? Terima kasih atas penjelasan.

JAWAPAN:
Islam adalah sebuah agama kebajikan yang menyeru kepada amalan kebaikan kepada penganutnya. Suruhan tersebut dapat dilihat berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 148)

Syeikh al-Maraghi menyebut, bersegeralah kamu membuat apa jua kebaikan dan hendaklah setiap orang di antara kamu berkeinginan untuk bersaing dan berlumba-lumba untuk mengikut perintah pembimbing, bukannya perintah orang yang berlumba mencampakkan kebenaran sebab dia berlumba-lumba kea rah kejahatan dan kesesatan. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 1/288)

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat: al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausuah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat: Lisan al-Arab, 10/196)

Berdasarkan kepada persoalan di atas, akad yang digunakan dalam pembelian penapis air tersebut adalah akad sewa beli (al-ijarah thumma al-bay’). Akad seperti ini memberi gambaran bahawa syarikat pengeluar akan menyewakan sesuatu barang kepada pembeli dalam tempoh tertentu dengan nilai tertentu pada setiap bulan dan setelah habis tempoh tersebut, barang tersebut akan menjadi milik pembeli. (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buy’, hlm. 145)

Berdasarkan kepada situasi ini, pemindahan hak milik boleh berlaku dengan cara penjualan yang dibuat sebelum berakhirnya tempoh sewaan dengan merujuk kepada satu harga yang menyamai dengan ansuran sewaan yang masih berbaki. [Lihat: Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions, Accounting, Auditing and Governance Standards for Islamic Financial Institutions (Manama: AAOIFI, 2010), 270-273]

Para ulama' mutaakkirin mensahihkan akad seperti dengan syarat janji pemilikan dan menjadikan satu akad sewa dan diakhiri dengan janji pemilikan ke atas barang sewaan. (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, Qasm al-Buy’, hlm. 146)

Ini berdasarkan kepada nas berikut:

الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ صُلْحًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا ‏
“Diharuskan perjanjian di antara orang-orang Islam melainkan perjanjian mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.” [Riwayat al-Tirmidzi (1352)]

Menjawab kepada persoalan ini, hukum meletakkan penapis air yang dibeli dengan akad sewa beli di masjid, surau atau kawasan awam adalah harus dan termasuk dalam sedekah tatowwu’ yang diganjarkan pahala di sisi Allah SWT. Ini kerana, dalam akad sewa beli, pemilikan barang tersebut adalah menjadi milik pembeli selagimana pembeli tetap membayar barangan tersebut sebagaimana yang ditetapkan. Ini adalah seperti yang dinyatakan oleh AAOIFI, bahawa janji untuk memindahkan hak milik adalah janji yang mengikat pemilik aset sahaja, sementara pihak satu lagi (penyewa) mesti mempunyai pilihan untuk tidak mengikutinya. [Lihat: AAOIFI, Shari’s Standards (Manama: AAOIFI: 2007), 148-149]

Justeru, pembeli memiliki hak berdasarkan kepada tempoh bayaran bulanan yang dibayar dan pembekal tidak memiliki hak dalam menarik kembali barangan tersebut selagimana pembeli tidak menunjukkan keingkaran dalam menunaikan pembayaran berdasarkan kepada penjanjian sewa beli.

Kesimpulan

Kami cenderung mengatakan bahawa perbuatan meletakkan penapis air yang yang dibeli dengan akad sewa beli di masjid, surau atau kawasan orang awam adalah harus dan dikira sebagai sedekah tatowwu’ yang digalakkan di dalam Islam. Ini kerana, kami melihat pada pengakhiran tempoh tersebut, barangan itu akan menjadi milik pembeli. Justeru, pembeli berhak meneruskan niat untuk meletakkan penapis air tersebut untuk kegunaan awam selagimana dia melakukan pembayaran secara bulanan terhadap barangan tersebut.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda kita semua untuk terus mencari peluang untuk sentiasa bersedekah dan mencari reda Allah SWT. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media