COVID-19 : "Kami Hanya Tumpang Meja Untuk Makan"


KUALA TERENGGANU, 19 Mac - "Kami orang luar dan tiada tempat hendak menjamu selera, jadi kami tumpang meja dekat kedai ini untuk makan," itu antara alasan yang diberikan pelancong ketika mengadakan serbuan susulan ada pelancong menjamu selera di premis makanan Pasar Kedai Payang 2 (PKP2), pagi semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pesekitan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, sebelum isu itu menjadi tular, dia sudah mengarahkan 15 penguatkuasa berkaitan turun padang bagi mengagihkan notis peringatan.

"Apabila kami sampai, masing-masing peniaga kedai makan tidak mengaku dan menyalahkan pelanggan kerana tetap makan di kedai mereka.

"Pelanggan yang makan pula semuanya pelancong dan memberi alasan tiada tempat untuk makan.

 "Oleh demikian kami memberi arahan supaya membungkus makanan dan makan di tempat lain dan ia amaran terakhir kepada semua peniaga dan pelanggan," katanya.

Tambahnya, semua anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ditugaskan ke semua tempat tumpuan dan kawasan perniagaan termasuk di PKP2 bagi memantau peniaga yang berdegil.

"Kami memandang serius terhadap peniaga yang tidak patuh dengan arahan yang dikeluarkan.

"Semua kedai juga sudah diarahkan supaya menampal notis pemberitahuan larangan makan di kedai dan hanya boleh membungkus makanan.

"Bermula hari ini, MBKT tidak akan berkompromi dengan peniaga yang berdegil dan akan mengenakan tindakan tegas," katanya.

Menurutnya, peniaga pakaian di luar PKP2 juga ada yang berdegil serta membuka kedai dan pihaknya sudah menasihati supaya menutup kedai serta merta.

"Semua kedai pakaian, emas, cenderahati, barangan runcit, buah-buahan dan barangan basah memberi kerjasama baik dan tidak beroperasi susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan itu.

"Kami faham ramai peniaga yang terjejas dengan arahan yang dikeluarkan itu namun perlu akur dan memberi kerjasama," katanya

Sumber: teganukita.net