CUEPACS gesa kerajaan lantik penjawat awam isi jawatan utama, bukannya lantik orang politik


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan agar anggota perkhidmatan awam dilantik mengisi jawatan ketua-ketua perkhidmatan utama seperti Peguam Negara.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata sebagai anggota perkhidmatan awam yang berwibawa dalam skim perkhidmatan perundangan dan kehakiman sedia ada, mereka memiliki pengalaman luas serta ilmu pengetahuan yang tinggi untuk menasihati kerajaan.

“Tambahan pula, mereka ini sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dan neutral dalam menjalankan tugas demi rakyat dan negara,” menurutnya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Cuepacs juga berkata lantikan ketua komunikasi di agensi-agensi kerajaan perlu dilihat dan dikaji semula.

“Jentera komunikasi kerajaan perlu dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam yang mempunyai peranan serta fungsi yang menjurus kepada bidang komunikasi di agensi yang diwujudkan kerajaan.

“Melalui pelantikan ini, sudah pastinya mereka akan memberikan penumpuan tugas yang berkesan terhadap kepentingan kerajaan,” katanya.

Justeru, Adnan berkata kerajaan perlu mengubah polisi lantikan daripada memilih pihak luar terutama dalam kalangan orang politik.

“Pelantikan mereka daripada kalangan anggota perkhidmatan awam juga boleh mewujudkan sifat menjauhi politik dan neutral terhadap dasar kerajaan yang telah diwujudkan,” katanya.

Oleh itu, Cuepacs berharap kerajaan akan memberi perhatian yang serius berhubung perkara ini.

“Walaupun negara berdepan kemelut politik baru-baru ini, namun anggota perkhidmatan awam telah menunjukkan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan dalam memastikan sistem penyampaian tidak langsung terganggu untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my