COVID-19 : 'Ibu Bapa Pelajar Luar Negara Jangan Bimbang' - Satiful Bahari

Satiful Bahari.
KUALA TERENGGANU, 5 April - Ibu bapa kepada sekitar 1,262 pelajar Terengganu yang berada di luar negara dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keadaan anak masing-masing di sana.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penuntut di
Mesir adalah yang tertinggi iaitu 500 orang, diikuti Indonesia 200, Jordan 170, Turki 122, United Kingdom (Ireland) 100, Sudan 70, Arab Saudi 50, Jerman 30 dan Yaman 20.

Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti keadaan pelajar-pelajar di negara lain dan akan memastikan kesemua penuntut terbabit dijaga dengan baik termasuk kebajikan mereka.

"Baru-baru ini, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah memperuntukan RM100,000 untuk pelajar di Jordan dan Mesir.

"Pada 19 Mac sebelum ini, pihak Yayasan Terengganu (YT) turut memberikan peruntukan khas (kecemasan) berjumlah RM65,000 kepada penuntut di Mesir, justeru para ibu bapa tidak perlu khuatir tentang keadaan mereka di luar Malaysia," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Di samping itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin memaklumkan, kerajaan melalui agensi penaja akan menampung sepenuhnya kos penginapan dan makanan pelajar Malaysia yang tamat pengajian tetapi terkandas di luar negara.

"Bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara, penaja pelajar berkenaan bersetuju untuk menanggung semua kos meliputi sewa rumah, makan minum dan sebagainya di negara masing-masing," jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, Abu Umair Mohd Yusof berkata, seramai 48 pelajar yang menuntut di Universiti Islam Ar-Raniry, Aceh sudah dibawa pulang ke Malaysia dan sedang dikuarantin di Cyberjaya.

"Manakala 23 orang lagi pelajar di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau sedang dikuarantin di Desaru, Johor Bharu," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net