COVID-19: Polis Terengganu Perketat Kawalan Di Dua Daerah



KUALA TERENGGANU, 9 April- Polis Terengganu memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Dungun dan Besut, bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, kawalan terbabit diperketat ekoran 30 orang penduduk di dua daerah itu  disahkan positif COVID-19.

Katanya, peningkatan itu berpunca dari kaitan kluster tabligh.

"Kedua-dua daerah ini telah dikategorikan sebagai zon jingga.

"Seramai 156 kekuatan anggota ditugaskan mengawal kawasan berkenaan yang meliputi tiga kampung iaitu Kampung Tok Kah, Kampung Teluk Lipat dan Kampung Sungai Buaya.

"Pengunaan dron turut dilakukan bagi memantau lokasi-lokasi tersebut secara menyeluruh termasuk memberi amaran dan nasihat supaya orang ramai duduk di rumah," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan 44 khemah sumbangan kerajaan negeri untuk ditempatkan di kawasan operasi sekatan jalan raya di negeri ini.

Untuk rekod, hanya daerah Hulu Terengganu kekal dikategorikan zon hijau selain bebas sebarang kes Tangkapan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sementara itu, kompaun sebanyak RM1,000 akan mula dikenakan terhadap individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Pesalah PKP diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan, jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah.

Dengan penguatkuasaan PKP, orang ramai tidak dibenarkan berada di luar rumah untuk urusan tidak penting.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali



Sumber: teganukita.net