172 kes baharu, KKM jangka jumlah kes Covid-19 meningkat esok & lusa


Malaysia hari ini mencatatkan peningkatan kes positif wabak Covid-19 iaitu 172 kes baharu, menjadikan kumulatif kes positif wabak berkenaan meningkat kepada 7,417 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 172 kes baharu yang dilaporkan, lima kes daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. 

"Selain itu, daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI)," katanya.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana depot-depot Imigresen tersebut merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa. 

Sementara itu, jumlah kes sembuh yang direkodkan pada hari ini adalah jauh lebih rendah berbanding sebelum ini, iaitu 34 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes baharu Covid-19 akan meningkat lebih tinggi pada esok dan lusa kerana proses pemeriksaan yang berterusan di tiga depoh berkenaan (Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang). 



Sumber : thereporter.my