Jangan Berkumpul Di Taman Awam! - MBKT


KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Seluruh rakyat Terengganu diseru agar tidak berkumpul di taman-taman awam bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, aktiviti berkenaan boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan memudahkan wabak pandemik merebak.

"Pihak MBKT menyeru kepada orang awam agar tidak berkumpul dan bersesak-sesak di taman-taman awam seperti di Taman Awam Batu Buruk di sini.

"Aktiviti sebegini boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19, yang boleh menjadikan Kuala Terengganu kembali ke zon merah (zon aktif)," tegas MBKT dalam satu hantaran di facebook rasmi mereka.

Ketegasan itu disuarakan selepas pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

Susulan itu juga, difahamkan pihak MBKT telah meletakkan penghadang bagi menghalang orang ramai memasuki Taman Awam Batu Buruk.

Hasil tinjauan pihak kami beberapa hari lalu mendapati, terdapat ramai keluarga yang berbuka puasa di Taman Awam Batu Buruk.

Kanak-kanak dan bayi juga dikesan dibawa bersama-sama dalam aktiviti tersebut.

Tindakan tersebut pastinya menimbulkan keresahan pihak lain pada saat wabak COVID-19 belum reda sepenuhnya.

Sumber: teganukita.net