Penjawat Awam yang enggan kembali bekerja selepas Aidilfitri akan dikenakan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman menegaskan, penjawat awam yang tidak kembali ke pejabat selepas Aidilfitri boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Beliau berkata, alasan terperangkap di kampung kerana larangan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah tidak boleh diterima sama sekali.

"Sekiranya pegawai tidak boleh hadir bertugas, sama ada di pejabat atau bekerja di rumah, dia dianggap tidak hadir bertugas dan ada diperuntukkan hukuman tertentu dalam Perintah Am Bab D (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993). 

"Dalam Perkeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Mac, pegawai mesti bekerja di pejabat atau dibenarkan bekerja di rumah mengikut arahan ketua jabatan. 

"Pegawai bekerja di rumah boleh diarahkan untuk hadir di pejabat pada bila-bila masa, namun jika tidak hadir tanpa mengemukakan surat cuti, boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing," katanya memetik laporan dari Berita Harian, hari ini. 

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, penjawat awam yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman tatatertib seperti amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).



Sumber : thereporter.my