Terengganu Umum Lapan Masjid Untuk Solat Jumaat

Masjid Abidin dibenar mengadakan solat Jumaat bermula 22 Mei.


KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini mengumumkan senarai lapan masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, lapan masjid itu adalah masjid di setiap daerah masing-masing termasuk Masjid Negeri, Masjid Abidin bagi daerah Kuala Terengganu.

“Bagi daerah Kemaman, masjid yang dibenar adalah Masjid Sultan Ahmad di Chukai, Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah untuk Dungun, Masjid Sultanah Nur Zahirah (Marang), Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu).

“Manakala bagi daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut masing-masing adalah Masjid Wakaf Tembesu, Masjid Bandar Permaisuri dan Masjid Sultan Nasaruddin Shah,” maklum beliau dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan untuk institusi masjid di Terengganu dibuka bagi aktiviti solat Jumaat dan fardu berjemaah.

Walau bagaimanapun ia tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat seperti jemaah solat Jumaat tidak dibenarkan melebihi 40 orang.

“Sehubungan itu, Pegawai Agama Daerah akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat dan catatan ahli jemaah dicatat dengan teliti," kata kenyataan itu.



Sumber: teganukita.net