Aiman Contoh Terbaik Pelumba Muda Terengganu

Wan Sukairi menyerahkan replika cek kepada Aiman.

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 16 Jun- Anak muda Kampung Bukit Putera, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang berjaya meraih jersi raja bukit (Jersi merah) pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 lalu, menerima hadiah sebanyak RM10, 000 diatas kejayaannya.

Pada Februari lalu, bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) berusia 23 tahun ini muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar raja bukit dalam pentas LTdL selepas negara menanti sejak 24 tahun lalu bermula edisi sulung pada 1996.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan Aiman perlu dijadikan contoh dorongan dan juga semangat kepada rakyat Terengganu yang lain untuk mencipta sejarah dalam kehidupan mereka.

"Walaupun beliau meraih kejayaan ketika menyarung jersi SAPURA, tetapi atas nama anak Terengganu kita tetap merasa bangga dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan hadiah kepada atlet berkenaan di kediamannya di Setiu, baru-baru ini.

Kunjungan bersama dengan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu merupakan sebahagian program menyatuni atlet harapan Terengganu yang  mengharumkan nama negeri dan juga Negara.









Sumber: teganukita.net