HULU TERENGGANU, 21 Jun - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukkan sebanyak RM152,700 dalam usaha memulihkan sektor pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19
Pengerusinya, Senator Dato' Razali Idris berkata penutupan semua sektor ekonomi sejak 18 Mac memberi impak besar kepada pendapatan rakyat.
Katanya, sumbangan yang dilakukan oleh pihak Ketengah merupakan inisiatif untuk membantu sektor pelancongan di Tasik Kenyir agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu.
"Pada hari ini KETENGAH akan menyalurkan sumbangan yang melibatkan seramai 86 orang pengusaha iaitu seramai 25 orang pengusaha rumah bot (rosak) yang akan menerima RM5,000 seorang,
"Selain itu seramai 33 orang pengusaha rumah bot diperuntukan sejumlah RM500 seorang, 20 orang pengusaha bot laju diperuntukan sejumlah RM400 seorang dan lapan orang pengusaha kedai bakal menerima RM400 seorang.
Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pengusaha Pelancongan Tasik Kenyir, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA); Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Dato' Rozi Mamat; Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Zalani Endut.
Menurut beliau, sumbangan ini juga selaras dengan pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan pembukaan semula semua aktiviti dan lokasi pelancongan secara berperingkat bagi menggerakkan sektor ini di Terengganu.
Tambahnya lagi, pengusaha pelancongan dingatkan supaya sentiasa mematuhi standard operating procedures (SOP) yang bersesuaian dengan normal baharu.
"Ia merupakan amalan penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang optimum di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini," ujarnya.
Sementara itu, Razali turut menyarankan supaya persatuan pelancongan mengadakan satu bengkel bagi mencari resolusi untuk memulihkan serta meningkatkan sektor ini di Tasik Kenyir.
"Bengkel ini perlu dan ia bukan perkara biasa kerana kita perlu fikirkan yang terbaik untuk memulihkan sektor pelancongan di Tasik Kenyir dan ia mampu meningkatkan kehadiran pengunjung ke sini," tambahnya.
Sumber: teganukita.net