Malaysia Tangguh Hantar Jemaah Haji Tahun Ini


Foto ihsan - Amazingnara.

PUTRAJAYA, 11 Jun - Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu dibuat setelah mengambil kira keutamaan kesan kesihatan kepada penduduk negara ini.

"Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia, bagi musim haji 1441H ditangguhkan ke tahun depan.

"Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan dan soalan lazim berkaitan penangguhan haji ini," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Mengulas mengenai kemungkinan penambahan kuota haji tahun depan berikutan penangguhan penghantaraan jemaah tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes antara pertimbangan kerajaan Malaysia membenarkan jemaah ke Makkah atau sebaliknya.




Sumber: teganukita.net