EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Dalam Siri Demi Siri

To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman (dua dari kanan) dan Saabi Wahab (kiri) teruja melihat bakat seorang remaja OKU yang melukis menggunakan kakinya.
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam siri demi siri yang diteruskan untuk membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan-kawasan tertumpu di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, program EPIC Cakna & Prihatin 2020 merupakan program tahunan dan siri kali ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Sabasun Hyperuncit dan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Saabi Wahab.
"Program ini merupakan aktiviti tahunan EPIC Berhad. Untuk tahun ini kita merancang empat siri, jadi akan ada tiga siri lagi sehingga Disember ini berdasarkan keperluan dan maklumat yang disalurkan.

"Yang terdekat dalam jangka masa dua bulan lagi, insya-Allah kita target sama ada di kawasan Hulu Terengganu atau Besut. Hari ini kita agihkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM350 dan barangan keperluan kepada 20 keluarga miskin bandar di kawasan Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu.


Tambah Saabi, Kumpulan EPIC Berhad memperuntukkan bajet untuk program CSR sebanyak kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap siri dan kawasan demi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan.

Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed sangat berterima kasih kepada EPIC atas usaha tersebut yang diserikan lagi dengan kehadiran isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.


"Alhamdulillah program pada hari ini begitu berjaya. 10 tempat telah dilawati sementara 10 lagi keluarga menerima bantuan di dewan ini. Bagi pihak DUN Bandar, kami sangat berterima kasih di atas penganjuran program ini yang sangat baik dan patut diteruskan.

"Walaupun kita berada dalam kawasan bandar, hakikatnya rakyat yang susah bilangannya masih besar. Bagaimanapun, program yang dibuat adalah menjurus kepada usaha menaik taraf kehidupan rakyat di sini di samping bantuan berterusan daripada kerajaan negeri.

"Kami amat bertuah EPIC dapat turun ke DUN Bandar hari ini bersama isteri Menteri Besar. Ianya sudah tentulah merupakan satu penghormatan buat kami," ujarnya.

Turut hadir, isterinya, Norizah Ngah, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengurus Perancangan Strategik Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Abdul Basir Embong.

Sumber: teganukita.net