Ibu hamil maut, janin terkeluar selepas motosikal ditunggang bersama suami dirempuh Myvi gagal memotong


Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan kereta Perodua Myvi, hari ini, lapor Harian Metro

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas berdekatan Lubok Jong, Nur Syafiqah Jaafar, 22, parah di bahagian perut dan meninggal dunia, manakala suaminya, Mohd Ikraam Ab Azit, 22 turut terkorban di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Abdullah Mohammad Piah berkata, pasangan itu terdahulu dalam perjalanan menghala ke Rantau Panjang dari Pasir Mas. Manakala Myvi yang dipandu oleh Nor Azlan Nasir, 27, dipandu dari arah bertentangan. 

Siasatan awal polis mendapati, pemandu Myvi cuba memotong kenderaan lain namun gagal lalu bertembung dengan motosikal Yamaha LC yang ditunggang mangsa. 

Kemalangan itu menyebabkan Nur Syafiqah tercampak tujuh meter sehingga menjejaskan kandungannya. 








Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my