COVID-19: NGO Wanita Gerakkan Usaha Bantu Golongan Terjejas

Zuraida bersama petugas yang terlibat dalam menyampaikan sumbangan kepada pihak yang terjejas


Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto : Media HANEES

KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Golongan yang terjejas ekoran pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan bermula 18 Mac yang lalu turut mendapat perhatian dan sumbangan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera (HANEES) Negeri Terengganu dengan usaha sama Ameerah Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata usaha itu diambil setelah menyaksikan ramai rakyat tidak dapat keluar mencari rezeki dan menyebabkan mereka hidup tersepit kerana tidak dapat membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, HANEES memulakan Tabung Cakna COVID-19 (TCC) sejak minggu pertama PKP dikuatkuasakan dan sehingga kini lebih RM30,000 telah berjaya dikumpulkan hasil daripada sumbangan orang ramai.

“Daripada RM30,000 yang berjaya dikumpul itu, lebih RM22,000 telah kita agihkan kepada masyarakat yang terjejas meliputi mahasiswa, golongan miskin, ibu tunggal dan juga golongan petugas 'frontliner’  (barisan hadapan) termasuklah petugas kesihatan, polis dan juga tentera.

“Kita agihkan dana itu mengikut keperluan golongan sasar kita. Ada yang diberi dalam bentuk barangan harian seperti beras, susu, gula dan lain-lain. Ada pula yang kita beri wang tunai untuk mereka beli keperluan seperti lampin pakai buang dan kita juga salurkan dalam bentuk makanan kepada petugas keselamatan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Zuraida yang juga merupakan Penaung HANEES berkata dana TCC tersebut turut digunakan bagi membiayai kos penghasilan perisai muka (face shield) yang akan diagihkan kepada petugas kesihatan di Pusat Kuarantin COVID-19 atau Klinik Kesihatan (KK).

“Sekarang, duit kita hanya berbaki sekitar RM8,000 sahaja lagi sedangkan masih banyak golongan yang masih memohon sumbangan daripada kita.

“Sebolehnya, kami mahu semua golongan yang terjejas ini dibantu tanpa mengira bangsa, warganegara, agama ataupun parti tetapi kerana dana yang terhad ini, terpaksa kami utamakan dahulu yang betul-betul memerlukan,” tambahnya.

Jelas Zuraida, walaupun pihak kerajaan negeri sudah menyediakan banyak isentif untuk golongan yang terlibat, tetapi itu masih tidak mengcukupi dan kerana itulah kami hadir untuk memenuhi kelompongan tersebut.

“Saya menyeru kepada masyarakat yang mungkin mempunyai lebihan rezeki untuk sama-sama kita bantu, agih-agihkan rezeki kita kepada mereka yang kurang berkemampuan. Semoga Allah memurahkan rezeki para penderma. Kita tunjukkan kebersamaan kita dalam melawan wabak COVID-19 ini,” ujarnya lagi.

Untuk maklumat, hampir 1000 orang golongan yang terkesan dengan PKP telah menerima manfaat daripada TCC ini dan masih ramai lagi yang berada dalam senarai menunggu berikutan kekurangan sumber kawangan tabung.

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada TCC ini, boleh berhubung dengan Pengerusi HANEES, Faradila Mohamad atau disalurkan terus ke akaun CIMB HANEES bernombor 8603354723.



Sumber: teganukita.net