'Bunyi jeritan, lolongan.. kami hanya mampu berpandangan sesama sendiri' - Bekas anggota tentera kongsi pengalaman ketika sertai operasi SAR Highland Towers 1993


Tragedi Highland Towers merupakan tragedi runtuhan 1 dari 3 blok kondominium di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993. Tragedi tersebut adalah satu-satunya tragedi bangunan runtuh yang pertama dalam Malaysia. Seramai 48 orang terkorban dalam tragedi yang menyayat hati ini. Highland Towers merupakan tiga blok pangsapuri 12 tingkat yang dinamakan Blok 1, Blok 2 dan Blok 3. Setakat tahun 2019, dua bangunan ini dalam proses perobohan.

Baru-baru ini, terbaca perkongsian seorang bekas tentera yang turut serta dalam usaha mencari dan menyelamat tragedi tersebut. Perkongsiannya itu membuatkan ramai yang tidak menyangka betapa teruk dan sedihnya tragedi itu.

AKU bukan polis, aku tentera, Kem Wardieburn (depan Puspakom). Pada hari kejadian, tengah hari Sabtu, aku tak bekerja. Cuaca hujan renyai dan aku tengah melepak di rumah member tengok cerita hindustan. Tiba-tiba di skrin TV ada keluar announcement. 

"SEMUA PASUKAN KESELAMATAN DIMINTA LAPORKAN DIRI DI KEM MASING-MASING SEGERA!!" 

Mula-mula buat dek je, tapi atas dasar ingin tahun, aku pun call HQ dan memang betul, ada runtuhan bangunan. Kalau tak silap aku dalam jam 1 petang lebih kot. 

Aku di antara orang yang terawal sampai ke tempat kejadian, memandangkan kem kami dekat dengan tempat kejadian. Aku ingat lagi semasa kami sampai, pasukan penyelamat yang lain belum sampai. Yang ada cuma beberapa orang polis dan ambulans. 

Kami diarahkan untuk menyusup masuk dalam runtuhan bangunan secara individu untuk mencari mangsa-mangsa yang kemungkinan tersepit di dalam. Walaupun perasaan takut kemungkinan ada runtuhan susulan, kami terpaksa menyusup masuk atas arahan orang atasan. 

Semasa masuk dalam runtuhan bangunan itu, kami bergerak secara berseorangan. Memang tak boleh bayangkan perasaan ketika itu. Dengan bau gas sana sini, masuk dari rumah ke rumah. Memang tak boleh dinafikan, bermacam-macam harta yang dijumpai seperti wang tunai, barang hiasan dan lain-lain.

Tetapi yang peliknya, selepas berjam-jam, hanya dua orang mangsa ditemui iaitu seorang budak kecil dengan pembantu rumahnya. 

Mangsa yang lain dijumpai dalam keadaan membusuk, lima hari selepas runtuhan itu. Patutlah kami tak jumpa, rupa-rupanya ramai mangsa yang berpusu-pusu dalam lif dan tangga, dah nak sampai ke lobi dah pun. Kesian. 

Bayangkan lif dah penuh dengan orang, tiba-tiba tumbang. Sebenarnya banyak mayat yang dijumpai di luar lif. Maknanya, masa tu lif dah sampai ke bawah dan pintu dah buka pun, dipercayai mangsa sedang berlari keluar dari basement tapi sayang tak sempat. 

Sebab itulah kami tak jumpa mangsa, rupa-rupanya semua mangsa dah sampai ke basement. Berlongok-longok di bawah basement. 

Ada juga mayat yang dijumpai dalam bilik air, tengah solat, ada yang tengah memeluk Quran. Sedih sangat pada masa itu.

Sebulan kami berkampung di situ, bermacam-macam peristiwa yang berlaku. Sedih, ngeri, misteri semuanya ada. Aku sendiri yang mengalaminya. Nauzubillah...

Masih ingat lagi ada seorang perempuan Cina, meratap di tepi bangunan yang runtuh itu. Kami tanya kenapa, dia kata rumah dia di tingkat satu. Semasa gegaran pertama, suami dia suruh keluar cepat dan dia segera keluar. Suami dia pula tertinggal di dalam rumah dan mati tertimbus. 

Juga di hari pertama, ada seorang ibu ini datang ke kawasan runtuhan menangis-nangis memanggil nama anak dia sampai pengsan. Rupanya dia bukan penghuni kondo ini, tetapi anak dia berada dalam runtuhan itu. Dia hantar anak ke situ sebab menghadiri birthday parti anak kawan. 

Seminggu selepas kejadian, setelah kesemua mayat-mayat mangsa dijumpai, pihak hospital mengangkut semua mayat itu berulang alik dari tempat kejadian ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sampaikan sepanjang jalan dari Bukit Antarabangsa ke HKL (Jalan Genting Klang) berbau mayat. 

Masa di rumah mayat di HKL pun dah tak boleh nak menampung jumlah mayat yang ada. Padang bola di HKL dijadikan tempat mengumpul mayat-mayat. Memang tragedi yang paling menyayatkan hati. 

Kami pihak penyelamat yang ada di tempat kejadian bertungkus lumus mencari mayat-mayat yang sudah hancur bercampur dengan tanah/batu bata. Ada yang jumpa jari, telinga, kaki, macam-macam bahagian badan manusia yang ditemui. 

Beberapa kali aku terjumpa tangan terkulai, tetapi badan masih dalam timbunan runtuhan. Tangan dah membengkak kebiruan, tak tahu nak gambarkan perasaan ketika itu. 

"Tarik je dik.." kata abang Bomba itu pada aku. 

Bila ditarik-tarik, putus pula tangan itu. Aku cakap dengan abang Bomba tu, "Bang, camne ni? Tangan putus ni?" 

"Nasib la dik, nak buat macam mana," jawabnya selamba. 

Selain menyelamat, kami juga ditugaskan untuk mengawal tapak runtuhan 24 jam. Paling seram bila waktu malam. Bermacam-macam bunyi boleh didengar dari dalam bangunan. Bunyi jeritan, lolongan, macam-macam bahasa ada, memang seram sungguh. Kami hanya mampu berpandangan sesama sendiri. 

"RASANYA MASIH ADA KE MAYAT YANG TAK DAPAT DIKELUARKAN DI TAPAK RUNTUHAN ITU?" 

Sure ada. Kalau tak full body pun, sekerat-sekerat. Kalau korang tengok rupa mayat yang sampai ke HKL pada masa tu, memang menyayatkan hati. Ada yang tak berkaki, tak bertangan, tak berkepala, ada yang kepala sahaja. 

Mayat hancur sebab selepas seminggu, geng-geng jentera dipanggil untuk menyelongkar runtuhan bangunan menggunakan jentera. Bayangkanlah macam mana rupa mayat kalau dah gali menggunakan jentera. 

Dalam kesibukan melakukan operasi menyelamat itu, ada juga beberapa kali siren bomba berbunyi diikuti dengan laungan amaran pihak bomba. 

"DIMINTA SEMUA ORANG KELUAR DARI TAPAK RUNTUHAN SEGERA! BLOCK B AKAN RUNTUH!" 

Apa lagi, tak cukup tanah kami berlari, berterabur semua. Yang tengah makan pun berlari lintang pukang. Kalau diingat-ingatkan sekarang ni, lawak pun ada. Runtuh ka hapanya, sampai sekarang masih tegak lagi. Sedar tak sedar, dah hampir 20 tahun dah. Bila lalu tempat kejadian itu, pasti teringat. Paling susah nak dilupakan bau mayat, bau gas, memang takkan dilupakan sampai bila-bila. 

Mengikut kajian, bangunan itu tumbang disebabkan mendapan tanah yang lembut disebabkan aliran air dari atas bukit. Air itu pula mengalir disebabkan saluran (longkang) pecah yang tidak diperbetulkan. Sepatutnya longkang itu mengalirkan air terus ke longkang besar/laluan air. Tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut. Cuma kelalaian pihak yang berwajib. 

Dalam kesibukan mencari mangsa runtuhan itu, aku ada masuk satu rumah yang penuh dengan peralatan perkahwinan. Tak pasti sama ada persiapan perkahwinan atau baru lepas.

Aku ada ambil sarung bantal yang bersulam berwarna keemasan. Kononnya nak pakai. Malam pertama aku pakai, belum sempat nak melelapkan mata terasa seperti ada orang yang menarik bantal. Mulanya ingatkan member sebelum, bangun-bangun tengok sekeliling, semua orang dah berdengkur. Buat tak tahu sajalah. 

Sambung tidur lagi dan perkara yang sama berlaku lagi. Kali ini bantal ditarik dengan kuat sampai terlepas kepala dari bantal. Sudahnya aku buka sarung bantal itu dan keesokan harinya aku letak balik ke tapak runtuhan. Seram seh. 

Ada seorang member (senior) aku, asyik merungut saja sebab ditugaskan menjadi penyelamat. Mulut dia asyik membebel 24 jam sebab tak puas hati dengan Ketua Platun aku sebab hantar dia. Macam-macam keluar dari mullut dia. 

"Kerja bodohlah, ini kerja DBKL la.." 

Rungutan dia bertambah-tambah semasa mayat-mayat dijumpai. Sehinggalah pada satu malam semasa kami sedang makan, tiba-tiba dia muntah tak henti-henti sambil menjerit. 

"Weh! Korang tengok lauk aku ni ada daging orang! Busuk!" 

Dia terus muntah-muntah. Semua orang datang tengok kat pinggan dia, tak ada apa-apa pun, sama je macam kitorang punya lauk. 

Aku tengok muka dia masa tu pucat lesi dengan mata terbeliak seperti terkena sampuk. Mujurlah ada ustaz menenangkan dia. Kata ustaz itu, dia terkena badi mayat. Wallahualam... 

MAYAT MENGELEMBUNG BERKECAI

Hari ni (10/7/2012) pergi lunch dengan member-member lama yang sama-sama jadi penyelamat di Highland Tower dulu. Mula-mula borak pasal kerja masa ATM dulu. Bila aku sebut je pasal tragedi Highland Tower, member aku terus terkedu diam. 

"Kau jangan sebut pasal kondo runtuh tu boleh tak? Aku betul-betul trauma dengan tragedi tu," katanya. 

"Kenapa pulak?" aku tanya. 

Member aku ni pun cerita, rupa-rupanya semasa kami mengumpul mayat, member aku ni tarik satu mayat yang dah mengembung dan berkecai-kecai. Tiba-tiba entah macam mana air daripada mayat tu terpercik ke muka dan badan dia. katanya hampir-hampir nak pitam masa tu juga.

Sudahlah payah nak mencari air. Masa itu juga dia minta balik ke kem. Dan yang paling ngeri, berbulan-bulan lamanya dia masih boleh bau mayat tersebut. Sampai jumpa ustaz la juga. 

Aku pun tak tahu cerita ni sampailah ke hari ini sebab dia pun tak cerita kat sesiapa. Katanya, kadang-kadang dia masih terbau-bau sampai sekarang walaupun dah hampir puluhan tahun lamanya tragedi itu. 

Ada seorang member Sarawakian ni cerita, masa kejadian dia ada terjumpa bekas barang kemas yang berisi beberapa utas rantai dan cincin. Dia ambil bekas tukonon nak buat harta. Tak sempat balik kem, dia demam teruk. Disebabkan demam, dia kena duduk rehat bawah khemah sementara nak tunggu trak askar sampai. Sempat jugalah dia buang bekas cincin itu. Memang penghuni dia tak bagi ambil barang-barang dia kot. Wallahualam. 

BUNYI KETUKAN DARI MANGSA RUNTUHAN

Memang betul ada bunyi ketukan-ketukan kecil yang datang dari runtuhan itu. Tetapi tidak dapat dikesan dari mana datangnya bunyi tersebut. Macam mana nak kesan? Bayangkan satu bangunan 12 tingkat tumbang menyembah bumi. Sebab itu banyak percanggahan pendapat dari pasukan penyelamat. 

Ada yang cadang runtuhan itu diangkat terus oleh jentera, ada pula yang kata jangan sebab nanti mangsa yang masih hidup mati terkena serpihan. Macam-macam cadangan yang ada tetapi tak jalan-jalan juga. 

KEMBALI SEMULA KE TAPAK RUNTUHAN
13/7/2012

Tapak tempat blok yang runtuh itu dah tak ada apa-apa, hanya dipenuh dengan hutan, pokok besar. Kalau orang dak tahu cerita, memang tak perasan pun ada kondo tumbang kat situ. Agak seram juga tengok dua blok yang masih tegak, dipenuh dengan pokok-pokok. 

Sempat berborak dengan seorang kontraktor yang sedang renovate salah sebuah rumah tak jauh dari tapak tu. Bang tu cakap, "Encik datang malam la baru syok, macam-macam bunyi ada." 

"Bang, saya datang bukan nak tunjuk berani ke apa, saja nak ziarah." aku balas. 

Rumah-rumah di sekitar tempat kejadian tak banyak berubah. Ada sebuah rumah yang betul-betul berdekatan dengan tempat kejadian itu tak berpenghuni. Agaknya owner dia tak sanggup nak duduk lagi sejak kejadian tersebut. Tak tahulah atas sebab apa. 

Sumber: Zulka


Sumber : thereporter.my