Gadis Cilik Terengganu, Tarik Minat KP Kesihatan

Surat yang diutus Lara.


KUALA LUMPUR, 17 April - Gelagat gadis cilik Terengganu, Lara Khadijah McAfee, 9, yang mengarang surat perkenalan menarik minat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Melalui surat perkenalan kepada Dr Noor Hisham itu, Lara turut menyertakan gelang getah sebagai tanda salam perkenalan.

“Salam Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Nama saya Lara Khadijah McAfee dan saya tinggal di Kuala Terengganu.

“Saya kini belajar Tahun Tiga di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman. Saya buatkan ‘loom band’ untuk dipakai rakan-rakan saya di pergelangan tangan mereka, tanda sebuah persahabatan.

“Saya buat ‘loom band’ untuk anda sebagai menghargai kerja keras membantu semua rakyat Malaysia, supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang penularan virus ini.

“Kekal selamat. Rakan anda, Lara," ujar Lara dalam surat itu.

Balasan Dr Noor Hisham.
Meskipun sibuk dengan tugas menangani wabak COVID-19, Dr Noor Hisham tidak menghampakan hasrat kanak-kanak terbabit apabila membalas surat anak gadis Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus itu.

“Terima kasih atas surat dan gelang yang diutuskan. Cucu saya sekarang yang memakainya dan dia sangat menyukainya.

“Kata-kata anda terlalu baik, tetapi saya tidak melakukannya secara berseorangan. Saya beruntung kerana mempunyai sebuah pasukan yang hebat untuk membantu negara kita.

“Rakyat Malaysia seperti anda, memainkan peranan yang luar biasa dengan kekal berada di rumah. Teruskan berbuat demikian dan bersama, kita boleh memerangi virus ini,” kata rakan baharu Lara menerusi surat rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) atas kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.


Sumber: teganukita.net