JHEAT Tetapkan Arahan Tatacara Akad Nikah

Foto Oleh : Goggle


KUALA TERENGGANU, 6 Mei- Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menetapkan arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah di Negeri Terengganu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) / Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan ancaman wabak COVID-19.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata, arahan tatacara bagi pelaksanaan majlis akad nikah itu berkuatkuasa 3 Mei.

Menurut beliau, majlis akad nikah hendaklah dilaksanakan di lbu Pejabat JHEAT atau Pejabat Agama Daerah (PAD) bagi tujuan keselamatan, pematuhan tatacara serta kemudahan pemantauan.

Tegasnya, pelaksanaan di premis persendirian, masjid, surau atau tempat- tempat awam yang lain adalah tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan khas daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu.

"Pemohon hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Ketua Polis Negeri atau Daerah (Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan) jika perlu.

"Pegawai Agama Daerah akan menentukan tempoh waktu pelaksanaan majlis akad nikah mengikut jadual yang akan disusun oleh pihak PAD dengan mengambil kira perbincangan dengan pihak pemohon," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kehadiran orang ke majlis perlu diminimakan (tidak melebihi 10 orang dewasa) dan keutamaan kepada yang berkeperluan untuk hadir seperti seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, serta masing- masing dua orang saksi bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan.

Menurut beliau, tempoh masa pelaksanaan majlis akad nikah hendaklah dipendekkan dan tidak melebihi 20 minit.

"Semua yang hadir pada majlis akad nikah berkenaan hendaklah didaftarkan nama, alamat semasa serta nombor telefon dan diserahkan kepada PAD atau wakilnya dan perlu menggunakan hand sanitizer (penyahkuman) sebelum dan selepas majlis akad nikah,"ujarnya.

Sementara itu katanya, upacara adat istiadat dalam majlis tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.

"Jika mana-mana pihak yang tidak mematuhi tatacara ini, PAD atau wakilnya
dengan kuasa Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju' Orang lslam Negeri Terengganu boleh menangguhkan majlis tersebut.

"Dokumentasi yang berkaitan majlis akad nikah seperti pendaftaran dan pengeluaran sijil perakuan nikah hendaklah ditangguhkan dan disempurnakan selepas tamat tempoh PKP," jelasnya.







Sumber: teganukita.net