Cakna Keberadaan Anak-Anak Dalam Tempoh PKPB – Zuraida



Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Ibubapa disarankan untuk mengambil tahu perihal keberadaan anak-anak mereka terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pandemik COVID-19 telah mengakibatkan penutupan pusat pengajian seperti institut pengajian tinggi dan sekolah.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan kesemua anak-anak pulang berkumpul di kediaman keluarga masing-masing.

“Disebabkan PKPB ini, anak-anak kita tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran dan apabila tidak ke sekolah maka banyaklah masa terluang mereka.

“Kita khuatir sekiranya anak-anak ini menyalahgunakan masa senggang mereka untuk perkara yang tidak bermanfaat dan lebih teruk sekiranya perkara tersebut mendatangkan kemudaratan kepada mereka,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Zuraida turut menzahirkan kesedihannya atas pemergian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nur Nazihah Mohd Sabri yang meninggal dunia akibat disengat tebuan di Dungun serta atas pemergian tiga beradik, Khalif Naim Mohd, Khairil Firdaus dan Umar Iskandar yang lemas di Kuala Telemong.

“Sedih dan pilu apabila mengenangkan anak-anak yang susah-payah kita besarkan, tiba-tiba terbujur kaku, pergi menghadap penciptanya dalam sekelip mata.

“Memanglah sudah begitu takdir yang disuratkan untuk mereka tetapi kita yang masih hidup ini, kenalah ambil pengajaran. Jangan biarkan anak-anak kita pergi ke mana-mana tanpa pengawasan orang dewasa,”katanya.

Zuraida mengingatkan ibubapa bahawa tragedi kehilangan nyawa seperti ini boleh dielakkan sekiranya mereka sentiasa peka akan lokasi dan aktiviti anak-anak.

Beliau yang berkesempatan menziarahi keluarga mangsa lemas berkenaan turut menyampaikan sedikit sumbangan dan  hadir sama dalam ziarah tersebut juga ialah Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh.

Sumber: teganukita.net