YADIM Sasar 2,000 Penerima Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu

Posted on Wednesday, June 17, 2020 | 6/17/2020


Mahadi Awang (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan YADIM sempena program Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu.
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 17 Jun - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu menyasarkan seramai kira-kira 2,000 orang penerima sumbangan bagi Program Peduli Musaadah Covid 19 Terengganu.

Pengarahnya, Mahadi Awang berkata, rata-rata sasaran tersebut terdiri daripada keluarga nelayan dan fakir miskin bagi seluruh negeri Terengganu.

"Hari ini kita hadir di daerah Kemaman bagi menyantuni dan memberikan sumbangan kepada mereka yang turut terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.


"Semalam kita berada di Dungun. Hari ini pula di Kemaman. Insya-Allah, kita akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sumbangan di seluruh negeri Terengganu secara berperingkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menyantuni penduduk dan memberikan sumbangan di Kampung Kuala Kemaman di sini hari ini.

Dalam program tersebut YADIM turut menyelitkan program YADIM Lestari : Cuci-Cuci.


Menurutnya, YADIM akan memilih sama ada surau, masjid atau madrasah untuk program gotong-royong membersihkannya.

"Ia bersesuaian dengan tuntutan agama Islam bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jadi kita ingin melihat tempat-tempat ibadah terutamanya terjaga daripada segi kebersihan," katanya lagi.

Hadir sama menjayakan program itu, kakitangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dan jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Kemaman.

Sumbangan yang diberikan berbentuk barangan keperluan harian. YADIM memperuntukkan hampir RM80,000 bagi melaksana dan menjayakan keseluruhan program tersebut.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 6/17/2020

0 comments:

Loading...