Erma Fatima Cemas Bertembung Kemalangan


Erma Fatima mengenang detik cemas bertembung kemalangan yang membabitkan Zareef Yusof, iaitu anak kepada aktor, Datuk Eizlan Yusof di Sekinchan, Kuala Selangor, Khamis lalu. Melewati tempat kejadian ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran musim kelima drama Mak Cun, Erma bersyukur Allah menyelamatkan Zareef yang berusia sembilan tahun, daripada kecederaan.

"Alhamdulillah, malaikat menjaga kamu sayang sehingga sedikit luka pun tiada. Dia sangat istimewa di hatiku kerana biarpun dibesarkan dengan kehidupan yang selesa tetapi penuh peradaban.

"Mulutnya tidak lepas daripada mengungkapkan kata-kata maaf dan tidak sombong dengan kemewahan selain menjadikan dirinya 'buah hati' semua orang. Beberapa hari sebelum kemalangan, dia tidur bersama. Kadang-kala pergi dan balik ke set menaiki kereta sama dan makan sekali. Cuma pada hari kejadian, dia berangkat ke set lima minit lebih awal daripada saya," katanya.

Erma teringat detik melihat kereta dinaiki Zareef terbalik di lokasi kemalangan. Tambah Erma, biarpun tidak cedera, Zareef dan ibu saudaranya dibawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Saya berlari turun dari kereta dalam tangisan mencarinya. Saya ternampak dia duduk tepi jalan dalam keadaan terkejut. Terima kasih Allah kerana menyelamatkan Zareef daripada segala-galanya saat dugaan itu dihantar.

"Engkau anak yang sangat kuat sayang kerana tetap mahu meneruskan penggambaran. Anakku, engkau berbakat sama seperti ayahmu. Darah yang mengalir dalam tubuhmu adalah darah seni. Tetapi ini bukan tempat engkau sayang. Ini hanya tempat untuk engkau bermain.

"Ada tugas lebih besar yang harus engkau selesaikan iaitu persekolahanmu. Apa pun, engkau selalu dan akan sentiasa berada dalam hatiku,” katanya yang turut meletakkan tanda pagar #mysweetheart dalam perkongsian itu, katanya.

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.



Oh! Makan


Sumber: Oh! Media