Lagi Kes Ibu Buat Laporan Polis Kerana Anaknya Di Denda Oleh Guru!


Seorang ibu membuat dua laporan polis kerana berang dengan tindakan seorang guru yang mendenda anaknya menulis perkataan sama sebanyak 50 kali kerana gagal menyiapkan keraja rumah.

Difahamkan, dalam laporan polis yang pertama pada 3 Julai lalu, ibu berkenaan mendakwa anaknya dirotan pada tangan oleh guru tersebut kerana tidak menyiapkan tugasan mata pelajaran sains.

Wanita berkenaan membuat satu lagi laporan polis Selasa lalu kerana mendakwa guru berkenaan telah menukar hukuman rotan kepada denda menulis perkataan sama sebanyak 50 kali terhadap anaknya yang juga murid tahun lima sebuah sekolah di Sepang, Selangor.

Kes itu sebelum ini mendapat perhatian satu kumpulan di laman Facebook iaitu (SJK(C) Fees Monitoring Forum yang mengulas mengenai hukuman rotan terhadap pelajar terbabit.

“Pada mulanya, ramai yang boleh memahami rasa marah dan kecewa ibu murid berkenaan kerana anaknya disakiti (dirotan). Tetapi membuat laporan polis kedua kerana denda tersebut adalah langkah yang sangat janggal,” lapor akhbar Guang Ming Daily memetik sumber.

Difahamkan, guru terbabit memberi kerja sekolah pada kelas terakhirnya 28 Jun lalu dan meminta murid-murid menyiapkan tugasan itu pada hujung minggu. Mereka juga diarahkan untuk membawa semula kerja sekolah itu pada 1 Julai (Isnin) walaupun pada hari itu tiada kelas subjek sains.

Salah seorang murid perempuan mengadu kepada ibunya mengenai perkara itu. Berang dengan perkara itu, si ibu terus menghubungi Guru Besar sekolah tersebut untuk menuntut penjelasan.

“Kebetulan pada hari itu, Guru Besar tiada di pejabat kerana ada urusan di luar. Si ibu yang tidak berpuas hati kemudian memanjangkan perkara itu kepada Menteri Pendidikan dan mendakwa Guru Besar berkenaan enggan bertemu dengannya.

“Guru Besar yang mengetahui aduan wanita itu memohon maaf dua kali, tetapi ditolak kerana didakwa tidak ikhlas dan menuntut Guru Besar itu membuat permohonan maaf secara ikhlas, sebelum membuat laporan polis pada 3 Julai (Rabu) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berhubung kejadian rotan tersebut,” kata laporan itu.

Selasa lalu, murid terbabit sekali lagi memaklumkan ibunya bahawa guru terbabit telah menukar hukuman rotan kepada hukuman menulis perkataan sama sebanyak 50 kali sehingga menyebabkan wanita itu naik angin lalu sekali lagi membuat laporan polis.

Kumpulan Facebook tersebut kemudiannya dibanjiri komen warganet yang mengecam tindakan ibu murid berkenaan yang dianggap “sedang merosakkan” masa depan anaknya. Rata-rata mereka mula memberi sokongan kepada guru berkenaan.


Sumber: New Malaysian Post

Sumber: Oh! Media