Nurkhuzaini berkata, 'GanuShop' akan dilancarkan pada 15 atau 16 April nanti. |
KUALA TERENGGANU, 13 April - Aplikasi bazar Ramadan 'online' Terengganu atau 'GanuShop' dijangka akan dilancarkan pada 15 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi yang mengandungi elemen peniaga, pembeli, penghantar makanan dan proses pembayaran itu adalah pengganti kepada penganjuran bazar Ramadan tahun ini.
"Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan mengetuai setiap sistem dan operasi yang akan dilancarkan paling awal pada 15 April nanti.
"Sekarang ini kita 'running test' aplikasi itu dengan melibatkan lebih 30 usahawan dan ia sudah di fasa akhir.
"Kita mahu setiap usahawan yang sudah biasa dengan sistem itu memberi komen balas agar tidak timbul sebarang masalah selepas dilancarkan kelak," katanya dalam Wawancara Khas di Studio TV Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, Nurkhuzaini berkata, pendaftaran melibatkan peniaga dan penghantar makanan pula akan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada hari pelancaran.
Ujarnya, keutamaan diberikan kepada 7,180 peniaga bazar Ramadan tahun lalu kerana operasi penyediaan makanan mereka sudah dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Jadi untuk pendaftaran baharu, kita ikut 32 DUN, PKM masing-masing akan buat pemilihan selepas setiap peniaga mendaftar secara 'online' di 'link' yang akan kita berikan semasa pelancaran nanti.
"Mesyuarat penyelarasan atau taklimat juga akan dibuat bersama semua wakil DUN seluruh Terengganu," jelas beliau.
Tambah beliau, 'GanuShop' akan memudahkan rakyat untuk membeli makanan serta barangan lain tanpa keluar rumah dan membayar caj penghantaran kerana ia ditanggung kerajaan.
"Melalui ini juga, lebih 800 pekerjaan akan wujud apabila kerajaan bersetuju untuk menempatkan 25 penghantar makanan di setiap DUN," tegasnya.
Sumber: teganukita.net